19 Mei 2022 | Khamis |

PASIR GUDANG : Yayasan Pasir Gudang bersama Puan Shahriah binti Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang telah selesai menziarahi 3 pesakit kronik di sekitar kawasan Taman Rinting, Taman Sierra Perdana dan Taman Mawar.

[ Pesakit Kronik : Pertama ]

Dimulai dengan bertemu Puan Zulaiha binti Abdul Majid di Jalan Gelam 11, Taman Rinting. Beliau merupakan ibu tunggal yang telah disahkan menghidap sakit buah pinggang kronik pada bulan Disember 2021 sebelum berangkat menunaikan ibadah Umrah.

Di Madinah, tahap oksigen beliau telah mengalami penurunan dan doktor pakar di kawasan sana menasihatkan beliau untuk membuat tapak dialisis serta perlu melakukan dialisis terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang semula ke Malaysia.

Apabila tiba di Malaysia, beliau perlu dikuarantin di Hospital Sultan Ismail, HSI sebelum disahkan menghidap positif wabak Covid-19 (Omicron) dan perlu menyambung tempoh kuarantin selama 14 hari.

Kini, beliau hanya menjalani rawatan dialisis di Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor, Taman Rinting.

[ Pesakit kronik : Kedua ]

Diteruskan dengan melawat Puan Rathaby A/P Thangaveloo di Jalan Sierra Perdana 2/8, Taman Sierra Perdana. Beliau merupakan pesakit kronik yang diuji dengan sakit strok separuh badan dan kencing manis sejak 23 September 2021.

Hal ini terjadi apabila beliau terjatuh ketika hendak naik ke katil akibat pening yang terlampau. Hasil pemeriksaan doktor mendapati otak sebelah kanan beliau membeku dan telah memberi kesan kepada sebelah kiri badan beliau.

Kini beliau perlu menggunakan lampin pakai buang dewasa sepenuh masa dan tinggal bersama anak beliau di Taman Sierra Perdana.

[ Pesakit Kronik : Ketiga ]

Ziarah pesakit kronik yang terakhir di Jalan Mawar 34, Taman Mawar melawat adik Nur Aafiyah Humairah binti Mohd Izam yang berumur 2 tahun. Adik Aafiyah dilahirkan dengan ketiadaan lubang dubur, usus yang pendek, masalah jantung dan menghidap penyakit sindrom down.

Ketika usia 1 tahun 2 bulan, adik Aafiyah telah menjalani pembedahan yang menelan kos keseluruhan RM 60,000.00. Alhamdulillah, pihak kerajaan telah membantu menanggung kos pembedahan bersama pihak zakat.

Kini, adik Aafiyah menggunakan bantuan stoma bag sepenuh masa dan hanya mampu minum minuman susu nutrien junior sebagai nutrisi keperluan harian. Bagi masalah jantungnya pula, keadaan terkini adalah injap jantung adik Aafiyah masih terdapat kebocoran dan akan sentiasa melakukan rawatan susulan di HSI.

Ibunya iaitu Puan Normilah binti Mohd Dairi juga merupakan pesakit kronik yang menghidap kanser rahim pada bulan Jun 2021 dan pada bulan Julai 2021, beliau telah menjalani pembedahan pembuangan kanser rahim. Kini, beliau akan melakukan rawatan radioterapi sebanyak 25 kitaran di HSI.

Setiap penerima yang diziarahi telah menerima sumbangan ihsan pesakit kronik daripada Yayasan Pasir Gudang yang telah disampaikan oleh Puan Shahriah binti Ismail.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top