3 Jun 2022 | Jumaat |

PASIR GUDANG : 6 orang pesakit kronik yang tinggal di sekitar kawasan Taman Scientex telah menerima kunjungan ziarah daripada Yayasan Pasir gudang.

[ Pesakit Kronik : Pertama ]

Dimulakan dengan Puan Aznah binti Mat Isa yang timggal di Blok B Jalan Pelanduk 1, Taman Scientex. Puan Aznah merupakan pesakit kronik yang telah diuji serangan minor strok pada bulan Mac 2021 apabila beliau terjatuh di bilik air.

Selain sakit minor strok, beliau juga mempunyai penyakit kencing manis dan sakit saraf. Beliau terpaksa menggunakan beg saluran kencing dan bantuan daripada suaminya untuk urusan pembuangan air besar disebabkan keadaan kesihatan yang dihadapi beliau.

[ Pesakit Kronik : Kedua ]

Diteruskan dengan Puan Noor Azlina binti Mohamed (ibu tunggal) di Blok E Jalan Pelanduk 1, Taman Scientex yang telah menderita sakit ketumbuhan dalam otak sejak 2013. Beliau juga sering mengalami sesak nafas dan mempunyai penyakit ulser perut.

Sebelum ini beliau bekerja sebagai kerani kedai, namun disebabkan keadaan beliau yang sukar untuk berjalan dan mata sering menjadi kabur menyebabkan beliau terpaksa berhenti bekerja. Alhamdulillah, jiran tetangga sentiasa bantu beliau dari segi penghantaran ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

[ Pesakit Kronik : Ketiga ]

Bertemu Puan Roszilahwati binti Ramli di Jalan Kenari 4, Taman Scientex yang merupakan pesakit kencing manis kronik. Pada 28 Disember 2021, beliau telah menjalani pembedahan pembuangan kaki kanan sehingga paras lututnya ekoran sakit kencing manis yang kronik.

Beliau masih lagi bekerja sebagai pembantu pembedahan di klinik pergigian Masai, namun pada 14 Februari 2022, beliau telah mengambil cuti bekerja. Kini, beliau menggunakan kerusi roda sebagai alatan bantuan untuk bergerak.

[ Pesakit Kronik : Keempat ]

Di Jalan Kedidi 4, Taman Scientex iaitu Encik A. Rahman bin Abu Shah yang telah menderita sakit kanser Carcinoma (kanser kelenjar kulit) di kakinya pada bulan Disember 2020.

Kesan utama kanser tersebut adalah kaki beliau mengalami bengkak yang teruk dan kulit pada kawasan kaki beliau terpaksa dikikis. Hal ini menyebabkan beliau perlu menjalani rawatan suntikan dan krim tertentu untuk mengubati kanser tersebut.

Sebelum ini beliau akan mendapatkan rawatan suntikan dan krim di Waqaf An-Nur, namun telah berhenti tetapi masih meneruskan rawatan susulan kesihatan di Waqaf An-Nur. Kini, kaki beliau perlu sentiasa digantung ke atas untuk mengelakkan cecair kelenjar mengalir ke kaki beliau ketika sedang terlantar.

Alhamdulillah, beliau merupakan penerima bantuan Baitulmal, MAIJ.

[ Pesakit Kronik : Kelima ]

Seterusnya bertemu Encik Mohd Azzlam bin Samigon (bapa tunggal) di Jalan Murai Utama, Taman Scientex yang menghidap sakit gangrane disebabkan terkena kepingan zink lama semasa bekerja di lapangan pada bulan Januari 2022.

Disebabkan jangkitan tersebut, beliau terpaksa menjalani pembedahan pembuangan kaki sebelah kiri pada bulan Februari 2022 dan menggunakan kerusi roda sepenuh masa untuk bergerak. Beliau akan menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail, HSI sebanyak 2 hingga 3 kali sebulan.

Dari segi kos rawatan pembedahan, semuanya di bawah tanggungan sendiri dan setakat ini, beliau telah mendapat bantuan daripada anak dan rakan beliau untuk membantu dari segi kos rawatan cuci luka disebabkan beliau tidak dapat bekerja kerana keadaan kesihatannya.

[ Pesakit Kronik : Keenam ]

Di akhiri dengan bertemu Adik Fara’uzma Faiha binti Sakeri, berumur 5 tahun yang tinggal di Jalan Murai 4, Taman Scientex. Adik Fara’uzma merupakan pesakit yang menghidap penyakit bronchitis sejak lahir, namun ketika itu belum dapat disahkan oleh doktor pakar.

Pada bulan Januari 2022, doktor pakar telah mengesahkan bahawa adik Fara’uzma menghidap penyakit bronchitis. Buat masa kini, adik Fara’uzma telah mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Sultanah Aminah, HSA.

Selain itu, paru-paru di bahagian sebelah kirinya juga dalam situasi yang lemah kerana ketika bayi, adik Fara’uzma lahir secara pra-matang. Setiap bulan, adik Fara’uzma akan ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan dari segi bantuan pernafasan (gas) atau yang berkaitan.

Mewakili Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Pengerusi Yayasan Pasir Gudang iaitu YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas turut meluangkan masa untuk menziarahi dan menghulurkan bantuan ihsan pesakit kronik Yayasan Pasir Gudang kepada setiap pesakit yang dilawati.

Turut serta adalah Puan Hajah Haryati binti Ismail, Ahli Majlis MBPG Zon Scientex 1 sepanjang sesi ziarah ini berlangsung.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top