| 23 Jun 2022 | Khamis |

TEBRAU : 4 orang pesakit kronik di sekitar kawasan Kg Kopok Baru, Taman Cahaya Masai, dan Bandar Bestari Perdana telah menerima lawatan ziarah daripada Yayasan Pasir Gudang.

[ Pesakit Kronik : Pertama ]

Dimulakan dengan melawat Encik Muhammad Asyari bin Sarbini di Jalan Hikmah 4, Kg Kopok Baru yang telah lama sakit terlantar kerana menderita sakit scoliosis (tulang belakang).

Pada 3 Januari 2022, sakit yang dialami beliau bertambah parah sehinggakan pihak Hospital Sultan Ismail, HSI terpaksa menahan beliau di wad hospital. Sejak kejadian ini, beliau tidak dapat lagi berjalan dan duduk dalam tempoh yang lama.

Sekiranya beliau mahu ke HSI untuk mendapatkan rawatan fisioterapi dan susulan, beliau perlu menggunakan bantuan kerusi roda sepenuhnya untuk memudahkan pergerakan.

Isterinya iaitu Puan Norsyahirah binti Azmi terpaksa berhenti bekerja kerana ingin menjaga suami dan anaknya yang berusia 3 tahun sepenuh masa.

Alhamdulillah, pihak masjid di kejiranan beliau telah membantu serba sedikit keperluan harian dan beliau juga merupakan penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM.

[ Pesakit Kronik : Kedua ]

Seterusnya bertemu Encik Ganesan A/L Maniam di Jalan Delima 11, Taman Cahaya Masai. Beliau merupakan pesakit kronik buah pinggang yang disahkan oleh doktor pakar pada bulan Mei 2020.

Pada bulan November 2020, beliau telah mula menjalani rawatan dialisis (cuci buah pinggang). Alhamdulillah, pihak SOCSO telah membantu beliau membayar kos rawatan dialisis sebanyak 75 peratus daripada jumlah keseluruhan dan bakinya akan dibayar oleh beliau.

Dari segi rawatan dialisis pula, beliau sering melakukannya di Pusat Dialisis Johor Bahru dengan menaiki teksi kerana keadaan penglihatan beliau yang kurang baik.

[ Pesakit Kronik : Ketiga ]

Di Jalan Ixora 11, Bandar Bestari Perdana berjumpa Puan Ruhila binti A Rahman yang merupakan ibu tunggal yang disahkan oleh doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah, HSA menghidap sakit asma kronik serta paru-paru yang berparut.

Oleh sebab keadaan kesihatan beliau yang kurang baik, beliau memerlukan penggunaan bantuan oksigen sepenuh masa sekiranya ingin bergerak atau melakukan rutin harian.

Walaubagaimanapun, hasil imbasan sinar X mendapati bahawa paru-paru beliau tidak mengalami sebarang kerosakan dan hanya mempunyai parut dan tompokan putih.

Sebelum ini beliau bekerja sebagai tenaga pengajar Al-Quran di Masjid sekitar Taman Rinting sebelum berhenti mengajar semenjak perintah kawalan pergerakan, PKP dilaksanakan atas faktor kesihatan.

Makan dan minuman harian serta kediaman telah dibantu oleh anak dan menantu beliau.

[ Pesakit Kronik : Keempat ]

Kediaman terakhir di Jalan Lily 1/1, Bandar Bestari Perdana bertemu Encik Mohd Faiz bin Ahmad Tarmizi yang menderita tulang lutut kiri hancur akibat kemalangan jalan raya yang menimpanya pada bulan November 2017.

Hal ini mengakibatkan beliau tidak dapat bekerja sehingga ke hari ini dan hanya bergantung kepada wang pinjaman insuran dari peguamnya serta bantuan bulanan daripada JKM untuk urusan perbelanjaan kos rawatan.

Pada bulan November 2021, beliau telah menjalani pembedahan kali ketiga apabila sebahagian tulang di pinggangnya terpaksa diambil untuk diletakkan di bahagian lututnya dan akan menjalani pembedahan kali keempat pada 2023 nanti.

Namun begitu, pembedahan yang dilakukan tidak melibatkan penanaman skru pada lututmya kerana akan menganggu pertumbuhan tulang lutut beliau secara keseluruhan.

Beliau sehingga ke hari ini mengalami masalah dari segi pergerakan dan sentiasa memerlukan bantuan tongkat berkaki empat untuk membantu beliau melakukan rutin harian.

Tuan Haji Herman Irmadi bin Ismail, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang telah hadir untuk melihat sendiri keadaan semasa pesakit kronik, disamping bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan bantuan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap pesakit yang diziarahi.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top