| 21 Ogos 2022 | Ahad | PASIR GUDANG :
Hari ini, di BZ Restaurant Pengantin, Jalan Tembusu, Taman Rinting telah selesai dilaksanakan sesi Ramah Mesra dan Perasmian Program Zero to Hero bagi tahun 2022.
Mewakili Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Pengerusi Yayasan Pasir Gudang bagi menyampaikan kata nasihat dan dorongan serta perasmian program adalah Encik Noor Azleen bin Ambros, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Sebagaimana yang kita ketahui, program Kursus Kemahiran Zero to Hero merupakan program kerjasama diantara Yayasan Pasir Gudang bersama FF Smart Skills Training Centre semenjak tahun 2019 lagi sehingga kini.
Bagi tahun 2022, seramai 106 orang penyertaan telah diterima bagi menyertai program ini yang ditawarkan 14 kursus kemahiran yang berbeza kepada para peserta mengikut minat dan kemahuan yang diperlukan di domestik mahupun industri.
Setiap peserta yang menyertai kursus kemahiran ini akan ditaja yuran pengajian oleh Yayasan Pasir Gudang sebanyak 50 %. Manakala baki 50 % yuran lagi akan dibayar oleh peserta.
Sepanjang program ini dilaksanakan, kursus kemahiran ini telah banyak membantu melahirkan pekerja yang sangat berkemahiran dari segi teknikal serta mampu menempatkan diri selaras dengan permintaan industri di luar sana.
Para peserta juga dapat meningkatkan sumber pendapatan utama melalui kemahiran yang mereka pelajari menerusi kursus kemahiran yang mereka sertai ini.
Turut serta program pada hari ini adalah YB Tuan Haji Azizul bin Bachok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Encik J Sen bin Alias, Pengarah FF Smart Skill Tarining Centre dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang serta Ahli Majlis MBPG.