PASIR GUDANG : Walaupun gangguan bekalan air tidak terancang masih dalam proses membaik pulih oleh pihak yang bertanggungjawab, bantuan-bantuan dari pelbagai syarikat dan pihak individu masih lagi diteruskan dan tidak terputus di beberapa zon kawasan Pasir Gudang dan Johor Bahru yang terlibat.
Hal ini sama dengan keadaan syarikat Lotte Chemical Titan Sdn Bhd yang masih meneruskan sumbangan ikhlas kotak air mineral (air bersih) kepada setiap keluarga (1 kotak air mineral) dan kali ini disalurkan sumbangan di kawasan Taman Rinting yang melibatkan penduduk komuniti Rumah Pangsa Ketapang dan Penduduk Komuniti Rumah Pangsa Balau.
Kaedah pemberian sumbangan juga sama ketika sesi sumbangan yang lalu disampaikan apabila setiap penerima yang hadir hanya perlu membawa bil air bulan September 2022 yang lalu untuk di cop terima sebelum diserahkan sumbangan 1 kotak air mineral untuk satu keluarga.
Semoga mereka yang terjejas dan terlibat sepanjang gangguan bekalan air tidak terancang ini berlaku dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesabaran dalam mengharungi situasi ini serta ucapan ribuan terima kasih kepada kesemua pihak yang telah bertungkus lumus dalam membantu penduduk komuniti di setiap zon kawasan yang terlibat dengan musibah ini.