PASIR GUDANG : Yayasan Pasir Gudang telah menerima satu maklumat mengenai sebuah keluarga pesakit kronik yang tinggal di Vista Seri Alam, Bandar Seri Alam yang perlu dikunjungi. Oleh demikian, Yayasan Pasir Gudang bersama Encik Guru Naidu A/L Subramaniam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang telah pergi untuk bertemu dengan pesakit kronik tersebut.

Antara pesakit kronik tersebut adalah Puan Jamaliah binti Mohamad, berusia 55 tahun yang telah terlantar sakit semenjak bulan Februari 2022 akibat masalah saraf yang berpunca dari kemalangan terseliuh.

Keadaan ini mengakibatkan kesihatan beliau semakin melarat sehinggakan dirinya tidak mampu menguruskan urusan harian dan berkerja serta terpaksa bergantung sepenuhnya terhadap penggunaan lampin pakai buang dewasa dan minuman susu bernutrisi.

Disamping itu, anak sulungnya sebagai sumber pendapatan utama iaitu Encik Ahmad Fakhruddin (berumur 34 tahun) turut diuji dengan kemalangan patah kaki di tempat kerjanya di Singapura pada bulan Oktober 2022 sehinggakan memaksa beliau untuk berhenti kerja disebabkan keadaan tidak mengizinkannya untuk kembali berkerja.

Anak keduanya iaitu cik Fatin Nurafiqah (berumur 29 tahun) juga merupakan orang kurang upaya (OKU) yang melibatkan penyakit kronik Cerebral Palsy sejak lahir lagi.

Hal ini menyebabkan beliau tidak mampu menguruskan diri sendiri serta perlu dijaga rapi dan diawasi oleh ahli keluarga setiap masa. Anaknya juga turut bergantung kepada penggunaan lampin pakai buang dewasa dan minuman susu bernutrisi seperti ibunya.

Oleh sebab keadaan keluarga Puan Jamaliah memerlukan penggunaan lampin pakai buang dewasa dan minuman susu nutrisi sebagai sumber makanan utama, Yayasan Pasir Gudang mengambil inisiatif untuk menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik, lampin pakai buang dewasa dan beberapa tin susu nutrisi bagi mengurangkan serba sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga Puan Jamaliah.

Semoga setiap daripada ahli keluarga Puan Jamaliah diberikan ketabahan dan kekuatan dalam mengharungi ujian yang sedang mereka alami dan Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar kesihatan Puan Jamaliah dan anak-anaknya diberikan kesembuhan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan pada masa mendatang.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Encik Guru Naidu A/L Subramaniam.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top