[ PASIR GUDANG / 5 April 2023 ] : Baru-baru ini, Yayasan Pasir Gudang telah menerima maklumat mengenai sebuah kediaman di Jalan Merak 7, Taman Scientex telah mengalami kebakaran pada 4 April 2023 di malam hari sekitar waktu selepas berbuka puasa pada jam 8:20 malam.
Oleh yang demikian, Yayasan Pasir Gudang bersama Encik Nooraizam bin Rowaji, Ahli Majlis MBPG merangkap wakil rasmi YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas selaku Pengerusi Yayasan Pasir Gudang telah hadir di kediaman mangsa kebakaran tersebut bagi mendengar sendiri situasi sebenar yang berlaku ketika kejadian.
Mangsa kebakaran kediaman tersebut adalah Encik Khairudin bin Ahmad (48 tahun). Menurut beliau, ketika kejadian berlaku, beliau dan isteri tidak berada di kediaman kerana masih berada di kawasan tempat berbuka puasa yang berdekatan dengan kediaman.
Ketika permulaan waktu kejadian kebakaran berlaku, jiran tetangga yang masih berkebun di kawasan terdekat terlihat sebuah api yang sedang membara telah terbakar di kawasan luar tepi kediaman Encik Khairudin sebelum bergegas untuk memanggil bantuan pihak berkuasa dan bomba untuk segera hadir bagi memadamkan api yang sedang marak membakar.
Jirang-jiran perumahan di kawasan sekeliling juga telah membantu untuk segera memberitahu Encik Khairudin mengenai kejadian yang berlaku. Syukur kerana anak, menantu dan cucunya tidak kehilangan nyawa kerana masing-masing berada di luar kawasan rumah atas urusan pekerjaan dan lain-lain.
Menurut pihak berkuasa, punca kebakaran masih tidak diketahui dan sedang dalam siasatan pihak forensik Bomba. Walau bagaimanapun, kebakaran di kawasan luar rumah telah menyebabkan ruangan rumah di kawasan tamu dan 1 bilik di bahagian bawah telah terjejas dan mengalami kerosakan.
Di akhir kunjungan, Encik Nooraizam bin Rowaji telah menghulurkan sendiri bantuan wang ihsan bencana Yayasan Pasir Gudang kepada Encik Khairudin bagi tujuan membantu serba sedikit membangunkan kembali kawasan yang telah terjejas dan terbakar.
Encik Nooraizam bin Rowaji sempat mendoakan agar Encik Khairudin dan sekeluarga diberikan ketabahan dan digantikan dengan rezeki yang lebih luas dan baik pada masa mendatang terutama atas apa yang berlaku terhadap kediaman Encik Khairudin.
