PASIR GUDANG : Hari ini, Yayasan Pasir Gudang bersama wakil rasmi YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang iaitu Encik Razani bin Abdul Rauf telah selesai menziarahi 3 individu pesakit kronik di sekitar kawasan Taman Mawar.
Pesakit kronik : Pertama
Dimulakan dengan bertemu Encik Mustafa bin Rabu di Jalan Mawar 44, Taman Mawar yang diuji dengan sakit buah pinggang tahap 4 ketika di usia 66 tahun.
Pada bulan April 2023, ketika beliau berada di Batu Pahat untuk bertemu ahli keluarga disana, kesihatan beliau secara tiba-tiba semakin merosot yang menyebabkan beliau mengalami sesak nafas dan apabila dirawat di Hospital Nora Ismail, Batu Pahat selama sebulan, beliau disahkan mengalami tekanan darah yang tinggi berserta paru-parunya berair dan perlu ditidurkan untuk beberapa hari.
Pada awal bulan Mei 2023, beliau telah dibenarkan untuk pulang ke rumah dan perlu melakukan rawatan susulan di Hospital Sultan Ismai (HSI). Alhamdulillah ketika bertemu beliau sebentar tadi, beliau tidak lagi sakit terlantar dan boleh bergerak untuk melakukan urusan harian, namun perlu dijaga dan dipantau oleh isterinya.
Pesakit kronik : Kedua
Diteruskan dengan berjumpa Encik Aziman bin Kastor (56 tahun) di Jalan Mawar 27, Taman Mawar yang mempunyai sakit tulang belakang (slip disc) sejak bulan Mac 2023.
Menurut beliau, doktor mengesahkan tulang belakangnya bergesel dan perlu melakukan pembedahan, namun di atas kekangan beliau, dirinya tidak dapat meneruskan buat masa kini. Buat masa kini, beliau hanya melakukan terapi dan rawatan kesihatan di rumah sahaja di atas pemantauan doktor.
Pesakit kronik : Ketiga
Di akhiri di kediaman Encik Za’aba bin Abd Kahar (65 tahun) di Jalan Mawar 25, Taman Mawar yang menderita sakit minor strok sejak 7 tahun yang lalu.
Namun sepanjang waktu tersebut, beliau masih boleh berjalan seperti biasa dan menguruskan diri, tetapi pada bulan Mac 2023, beliau diuji sekali lagi dengan serangan strok kali ke lima dan kali ini menyebabkan beliau sakit terlantar dan tidak boleh berjalan sehingga ke hari ini yang memerlukan penjagaan dan pemerhatian sepanjang 24 jam.
Anak sulungnya iaitu Encik Arif Iskandar bin Za’aba (39 tahun) mengambil keputusan untuk berhenti berkerja (sedang mencari pekerjaan freelance) bagi membantu menguruskan ayahnya. Disebabkan Encik Za’aba terlantar sakit, beliau perlu menggunakan lampin pakai buang dewasa sepenuh masa dan hanya boleh minum minuman susu nutrisi melalui tiub saluran.
2 minggu sekali, doktor dari Klinik Kesihatan Pasir Gudang (KKPG) akan datang ke rumah Encik Za’aba untuk menukar tiub saluran susu berserta untuk rawatan susulan kesihatan yang diperlukan.
Di akhir kunjungan, Encik Razani bin Abdul Rauf bersama YBhg Dato’ Haji Mohd Amin bin Ahmad (Ketua WHIP MBPG) telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap individu yang dilawati berserta bakul makanan Yayasan Pasir Gudang.
Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar mereka sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani liku-liku dugaan terutama yang membabitkan kesihatan dan terus sentiasa bersemangat dalam membantu diri mereka untuk kembali pulih seperti sedia kala kerana tiada perkara yang mustahil atas izinNya.
Turut hadir adalah Tuan Haji Hashim bin Marsidi (Pengerusi Rukun Tetangga KRT Fasa 1 dan Persatuan Penduduk Fasa 1 Taman Mawar) .

