KOTA ISKANDAR, 10 Mac: Kerajaan Negeri Johor hari ini menyampaikan bantuan one-off berjumlah RM4,919 juta kepada pemandu teksi dan kereta sewa, pemandu bas sekolah, pemandu e-hailing dan penghantar makanan di negeri ini.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Agenda Johor Berkebajikan yang dibentang dalam Belanjawan Johor 2021 di bawah peruntukan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

Bantuan disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad kepada wakil-wakil Pemandu Teksi Lapangan Antarabangsa Senai,  Gabungan Teksi Berdaftar (Gapet), Pemandu Teksi Johor Bahru-Singapura dan Pemandu Bas Sekolah Berdaftar pada majlis ringkas di ruang legar Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini.

Turut menerima bantuan pada majlis itu ialah wakil-wakil bagi pemandu e-hailing berdaftar, penghantar makanan Foodpanda, Grab Food dan Bungkus It.

Bagi pemandu Teksi dan Kereta Sewa Berdaftar, seramai 4758 pemandu akan menerima bantuan one-off sebanyak RM500 membabitkan kos sebanyak RM2.37 juta.

Seramai 2,123 pemandu bas sekolah berdaftar akan menerima bantuan one-off RM500 membabitkan kos keseluruhan RM1.066 juta.

Seramai 10,293 pemandu e-hailing di negeri ini akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM100 membabitkan peruntukan RM1.029 juta.

Bagi penghantar makanan, seramai 4,455 orang akan menerima bantuan one-off sebanyak RM100 membabitkan kos RM445,500.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri; YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor; YB Tuan Haji Mazlan Bujang; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, dan Infrastruktur Negeri Johor; YB Tuan Haji Mohd. Solihan Badri; Pegawai Kewangan Negeri; YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Tuan Haji Ramli Abdul Rahman. – Makmur Johor.

Credit | Berita : MakmurJOHOR.com

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top