Yayasan Pasir Gudang

Lawatan Kebakaran Yayasan Pasir Gudang : TEBRAU

| 8 Julai 2022 | Jumaat | TEBRAU :

Yayasan Pasir Gudang juga berkesempatan mengunjungi satu lagi mangsa kebakaran kediaman di Jalan Jambu 8, Taman Kota Masai bersama YB Tuan Haji Azizul bin Bachok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram.

Mangsa iaitu Encik Rashidi bin Rashid telah mengalami kejadian kebakaran kediaman pada 3 Julai 2022 di sekitar jam 1:00 petang.

Ketika kejadian berlaku, beliau berada di luar atas urusan peribadi dan isterinya bersama anak sulong berumur 23 tahun telah keluar rumah untuk membeli makanan di restoran.

Setelah pulang dari membeli makanan, anak sulongnya iaitu Nurhidayahtul Najwa melihat adiknya masih tidur di ruang tamu sebelum terbau asap terbakar dari bilik tidur bawah.

Apabila tiba di tempat kejadian, api telah mula membara membakar segala harta benda dan barangan kelengkapan di bilik tersebut. Selang beberapa minit, ayahnya iaitu Encik Rashidi sendiri telah pulang ke rumah.

Beliau bergegas untuk melihat kejadian tersebut, namun apakan daya api telah membara dan beliau tidak dapat memadamkan api tersebut sebelum menelefon pihak bomba untuk tiba di tempat kejadian.

Alhamdulillah pihak bomba dan pihak berkuasa telah tiba dengan kadar segera dan berjaya memadamkan api tersebut dari terus memberi kesan di kawasan lain kediaman beliau.

Syukur, anak-anak beliau serta isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kehilangan nyawa. Pihak bomba dan pihak berkuasa masih lagi menyiasat punca sebenar kebakaran terjadi.

YB Tuan Haji Azizul bin Bachok telah menghulurkan sumbangan bantuan wang ihsan bencana Yayasan Pasir Gudang kepada Encik Rashid disamping mendoakan agar beliau terus tabah dan cekal terhadap ujian dan cabaran yang menimpanya serta digantikan dengan rezeki yang lebih luas.

Let's Chat
Scroll to Top