PASIR GUDANG : Yayasan Pasir Gudang pada 18 Julai 2022 (Isnin) telah selesai dengan jayanya melancarkan Program Tuisyen Online SPM YPG 2022 yang berlangsung di atas platform Google Meet dengan penyertaan pelajar seramai 200 orang.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin, selaku Pengerusi Yayasan Pasir Gudang dengan ucapan beliau dan kata-kata pendorong semangat kepada pelajar-pelajar yang hadir agar mereka menggunakan peluang dan manfaat yang diberikan secara percuma ini dengan baik yang dapat membantu mereka mengecapi kecemerlangan dalam peperiksaan SPM 2023 nanti.

Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin juga berhasrat agar kesemua pelajar-pelajar SPM yang tinggal di kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang mengecapi kecemerlangan dan kejayaan di dalam peperiksaan SPM kerana ia merupakan langkah pertama untuk menguasai ilmu yang lebih banyak dan berkualiti yang mampu membawa kepada kejayaan di peringkat pengajian tertinggi mahupun di alam pekerjaan nanti.

Hal ini demikian kerana ilmu dan pengetahuan pada zaman kini begitu penting terutama kepada golongan remaja dan belia dalam menentukan masa hadapan yang lebih baik dan cemerlang.

Tidak ketinggalan juga tenaga pengajar turut menerima kata-kata pendorong semangat daripada Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin untuk terus mendidik dan memberikan sepenuh jiwa dalam memastikan pelajar-pelajar yang terlibat dapat menimba ilmu yang terbaik mengikut subjek-subjek yang terlibat seperti subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik.

Turut hadir sepanjang program ini berlangsung adalah Encik Yong Kok Leong, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang dan penyelia bagi Tuisyen Online YPG SPM 2022 yang turut memberikan sepatah dua kata kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang hadir.

Bagi pelajar-pelajar SPM yang belum mendaftar dan berminat dengan Tuisyen Online SPM YPG 2022 yang diadakan secara percuma ini, boleh membuat pendaftaran dengan menekan link yang disediakan di bawah :
https://yayasanpasirgudang.org.my/tuisyen-online-spm-ypg/

#TuisyenOnlineSPMYPG2022
#TuisyenOnlinePercuma
#YayasanPasirGudang

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top