PASIR GUDANG : Yayasan Pasir Gudang telah menerima maklumat mengenai seorang individu yang telah lama menderita penyakit strok dan diabetes ( kencing manis ) sejak tahun 2015 yang memerlukan sumbangan bantuan katil pesakit iaitu Puan Fatimah binti Sujak ( 73 tahun ) yang tinggal di Jalan Tiong 9, Taman Scientex.

Sejak tahun 2015, anggota pada bahagian sebelah kanan beliau merupakan bahagian yang pertama telah terkena serangan sakit strok, tetapi masih mampu bergerak seperti biasa walaupun mengalami kesukaran dalam melakukan rutin harian.

Namun begitu, pada tahun 2020 ketika negara di seluruh dunia termasuklah Malaysia telah diuji dengan pandemik wabak Covid-19, penyakit stroknya semakin bertambah teruk apabila kali ini telah memberi kesan pada bahagian kakinya.

Hal ini menyebabkan beliau mengalami sakit terlantar disebabkan tidak mampu bergerak dan 3 jari kaki tengahnya terpaksa dipotong ekoran terkena jangkitan kuman disebabkan penyakit kencing manisnya itu.

Syukur kerana sepanjang beliau diuji dengan penyakit kroniknya itu, Puan Fatimah telah dijaga, dirawat dan tinggal bersama anaknya iaitu Puan Muzalifah binti Musa serta menantunya, Encik Fairol Anuar bin Dahlan.

Oleh sebab keadaan kesihatan Puan Fatimah yang semakin tidak mengizinkan, terlantar sakit sepanjang masa dan memerlukan katil pesakit, Yayasan Pasir Gudang telah mengambil inisiatif untuk menghulurkan sumbangan katil pesakit pemberian YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas untuk kegunaan Puan Fatimah.

Yayasan Pasir Gudang juga mengambil peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang telah menyalurkan sumbangan kepada pihak Yayasan Pasir Gudang untuk digunakan dalam membantu pesakit mahupun golongan yang memerlukan bantuan diluarsana.

Semoga dengan pemberian sumbangan katil pesakit ini dapat meringankan serba sedikit beban yang dipikul, diberikan keselesaan serta dimudahkan segala urusan harian keluarga Puan Fatimah terutama dalam merawat penyakit kronik yang dialami oleh Puan Fatimah.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top