Baru-baru ini, di Dewan Terbuka Taman Cendana telah berlangsungnya program bantuan “Back to School” kepada 50 orang penerima cilik yang terpilih terdiri daripada penduduk komuniti di sekitar kawasan Pasir Gudang.
Sebagaimana yang berlaku ketika majlis berlangsung, setiap penerima cilik (terpilih) yang hadir bersama ibu bapa telah menerima bantuan barangan keperluan sekolah yang bernilai RM 150 untuk di bawa pulang ke rumah untuk kegunaan di sesi persekolahan yang baharu iaitu pada 19 Mac 2023 nanti.
Atas makluman anda, setiap penerima yang terbabit merupakan dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan yang dapat dikenal pasti oleh pihak Yayasan Pasir Gudang untuk dibantu menerusi program ini yang merupakan jalinan usaha kerjasama syarikat Luvata Malaysia Sdn Bhd bersama Yayasan Pasir Gudang dalam menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada keluarga yang kurang bernasib baik.
YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang turut meluangkan masa berharga beliau untuk bersama-sama hadir bagi menyempurnakan program ini yang banyak memberi manfaat kepada keluarga penerima untuk persediaan buat anak-anak mereka melangkah ke alam sesi persekolahan yang baharu dengan keadaan yang ceria.
Sedikit info mengenai syarikat Luvata Malaysia Sdn Bhd adalah syarikat ini merupakan sebahagian daripada Bahan Mitsubishi sejak 2016 yang ditubuhkan pada tahun 1998 terletak di Pasir Gudang. Syarikat ini menfokuskan pengeluaran produk tembaga kekonduksian tinggi seperti busbar tembaga, pita tembaga, rod tembaga, profil tembaga dan sebagainya dengan kapasiti 30,000 tan metrik setahun serta 85 peratus daripada produk yang disiapkan akan dieksport ke luar negara.
Turut hadir menyempurnakan majlis adalah Encik Wong Khing Huet (Pengarah QEHS, HR & Pentadbiran, Luvata Malaysia Sdn Bhd), Encik Yahya bin Ahmad (Pengarah Bahagian Pengeluaran, Luvata Malaysia Sdn Bhd), Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang serta pegawai-pegawai Luvata Malaysia Sdn Bhd.
Semoga jalinan kerjasama yang terbina antara Luvata Malaysia Sdn Bhd dengan Yayasan Pasir Gudang dapat diteruskan dan pihak Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar bantuan yang diberikan ini digantikan dengan kejayaan yang cemerlang pada masa mendatang.
