PASIR GUDANG, 20 Mac: Kerajaan Negeri Johor menyokong sepenuhnya Program Denai Sungai Kebangsaan dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar dan sungai-sungai di negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, seperti sedia maklum Sungai Kim Kim sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila berlakunya pencemaran yang menjejaskan kesihatan penduduk setempat pada Mac 2019.

”Program sebegini cukup bermakna kepada kita. Ia juga sebagai peringatan kepada semua pihak bahawa kerajaan amat serius untuk memastikan bahawa setiap individu dalam komuniti perlu bertanggungjawab terhadap sungai-sungai ini.

”Saya amat yakin dan percaya dengan adanya Program Denai Sungai Kebangsaan ini merupakan satu langkah menjadikan kawasan sepanjang Sungai Kim Kim sebagai kawasan yang terjaga dan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Gotong-Royong Sayangi Kim Kim sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021 (HAS 2021) di Sungai Kim Kim, Jalan Keluli 10, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Terdahulu, YAB Menteri Besar Johor menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan dan menanam pokok di Sungai Kim Kim yang turut disertai lebih 400 sukarelawan terdiri daripada penjawat awam, pelajar dan penduduk setempat.

Program Denai Sungai Kebangsaan merupakan sebuah program di bawah KASA yang melibatkan semua pihak, khususnya komuniti dalam menjaga kawasan di sekitar sungai di seluruh negara, termasuk sungai-sungai yang tercemar di negeri ini.

YAB Menteri Besar menambah, Kerajaan Negeri Johor sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk jabatan yang terlibat dalam memastikan kelestarian alam sekitar khususnya sungai-sungai di negeri ini.

”Kita (Kerajaan Negeri Johor) juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai di negeri ini,” katanya. – Makmur Johor

Berita : MakmurJOHOR.com

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top