| 3 September 2022 | Sabtu | PASIR GUDANG :
Yayasan Pasir Gudang pada hari ini telah selesai menganjurkan program Kesihatan dalam Komuniti di Gelanggang Futsal Amanpuri, Taman Scientex.
Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan seperti ujian saringan kesihatan, pertandingan mewarna buat kanak-kanak berumur 4-6 tahun, penyerahan bantuan kepada penduduk komuniti terpilih yang kurang berkemampuan serta senaman Zumba.
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan melahirkan sifat kemasyarakatan dalam komuniti bagi membina suasana yang sihat dan harmoni di antara satu sama lain.
Justeru itu, program Skuad Home Care Nursing Treatment Yayasan Pasir Gudang turut diperkenalkan bagi membantu individu, warga emas atau pesakit kronik dalam menguruskan hal-hal berkaitan pengurusan kesihatan seharian ataupun penjagaan dari segi ubat-ubatan oleh skuad jururawat yang bertauliah dan berkemahiran.
Hal ini dapat memastikan bahawa individu yang dijaga dapat diberi perhatian dengan rapi, teratur dan selamat dari segi segala aspek perubatan dan juga pengurusan rutin harian pesakit.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin, selaku Pengerusi Yayasan Pasir Gudang.
Turut serta sepanjang program ini berlangsung adalah Encik Noor Azleen bin Ambros, Encik Nooraizam bin Rowaji, dan Puan Shahriah binti Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang.