PASIR GUDANG | 16 April 2023 : Sempena meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Yayasan Pasir Gudang telah menganjurkan program sumbangan asnaf Hari Raya Aidilfitri bersama YB Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi di Masjid Al-‘Uliya Taman Air Biru.
Sepanjang program berlangsung, YB Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin turut menggalakkan bantuan sebegini untuk terus dilakukan oleh kesemua pihak kerana ia dapat mengeratkan hubungan sillaturahim di antara golongan asnaf dan juga masyarakat setempat yang dapat melahirkan sikap ambil peduli tentang keadaan yang diharungi oleh mereka yang kurang bernasib baik.
Hal ini demikian kerana sedikit sebanyak dapat membantu individu atau keluarga yang kurang berkemampuan membuat persiapan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang ceria bersama keluarga tercinta, sanak saudara dan jiran tetangga.
Alhamdulillah, seramai 115 orang penerima terpilih dari kalangan asnaf yang dapat dikenal pasti oleh pihak Yayasan Pasir Gudang telah hadir bagi menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh YB Tuan Haji Baharuddin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang.
Selain itu, disamping sesi penyerahan sumbangan Hari Raya Aidilfitri dilakukan, penyerahan replika cek bagi bantuan persekolahan untuk kawasan Pasir Gudang bagi Program Ceria ke Sekolah tahun 2023 oleh syarikat Tenaga Nasional Berhad turut berjaya disalurkan untuk kegunaan keluarga yang memerlukan bagi pembelian barangan keperluan persekolahan.
Yayasan Pasir Gudang mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kepada syarikat Tenaga Nasional Berhad kerana sudi menghulurkan sumbangan kepada penduduk komuniti Pasir Gudang dan pihak Yayasan Pasir Gudang berharap agar hubungan kerjasama ini dapat diteruskan dan dikurniakan kejayaan yang lebih cemerlang pada masa mendatang.
Turut hadir sepanjang program ini berjalan adalah Encik Ed Baela bin Muhalajah (Ahli Majlis MBPG, Zon Air Biru), Encik Nooraizam bin Rowaji (Ahli Majlis MBPG), Pegawai Tenaga Nasional Berhad, Ketua-ketua Kampung dan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Masjid Al-‘Uliya Taman Air Biru.