PASIR GUDANG : Pada 9 April 2023 (Ahad), Yayasan telah meneruskan program sumbangan Hari Raya Aidilfitri bersama YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang dan kali ini diadakan bertempat di kawasan penduduk komuniti Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam.
Program yang diadakan pada 9:30 pagi tersebut di Dewan Serbaguna Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam telah dihadiri seramai 120 orang penerima terpilih yang dapat dikenal pasti oleh Yayasan Pasir Gudang merupakan individu atau keluarga dari golongan asnaf yang kurang berkemampuan terutama dari segi pendapatan keseluruhan dalam menyara keluarga mereka.
Bagi memastikan bahawa mereka ini juga dapat merasai kemeriahan dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang yang akan tiba tidak lama lagi, Yayasan Pasir Gudang mengambil inisiatif untuk membantu meringankan serba sedikit beban tersebut dengan menghulurkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada penerima yang hadir.
Selepas sesi sumbangan telah berjaya disempurnakan oleh YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, riak wajah ceria pada setiap penerima dapat dilihat dengan sangat jelas apabila menerima sumbangan tersebut dan ada di antara mereka juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi memahami nasib mereka dan membantu serba sedikit meringankan kerisauan dalam persiapan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Turut serta memeriahkan program adalah Encik Nooraizam bin Rowaji (Ahli Majlis MBPG) dan Encik Guru Naidu A/L Subramaniam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang.
