PASIR GUDANG : Sebagaimana yang kita ketahui, beberapa hari yang lalu telah berlakunya gangguan bekalan air tidak terancang di beberapa zon kawasan Pasir Gudang dan Johor Bahru.
Namun begitu, perkara ini juga tidak terlepas dari memberi kesan negatif terhadap penduduk komuniti Rumah Pangsa Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam apabila mereka juga turut mengalami gangguan bekalan air tidak dirancang.
Oleh demikian, syarikat Lotte Chemical Titan Sdn Bhd telah mengambil inisiatif untuk menyalurkan sumbangan ikhlas kotak air mineral (air bersih) kepada setiap keluarga (1 kotak air mineral) bagi membantu memudahkan urusan mereka buat sementara waktu sambil menunggu proses pembaikan paip bekalan air kembali pulih.
Sesi sumbangan telah dibahagikan kepada 2 sesi iaitu sesi pertama telah berjaya dilaksanakan pada waktu 12:00 tengahari dan sesi kedua telah dilaksanakan pada waktu 4:00 petang bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan proses pembahagian sumbangan kepada penerima yang hadir.
Penerima yang hadir hanya perlu membawa bil air bulan September 2022 yang lalu untuk di cop terima sebelum diserahkan sumbangan 1 kotak air mineral untuk satu keluarga di Dewan Serbaguna Rumah Pangsa Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam.
Encik Guru Naidu A/L Subramaniam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang telah bersama-sama turut serta dalam membantu memudahkan gerak kerja pihak syarikat Lotte Chemical Sdn Bhd dan mengedarkan sumbangan kepada penerima.
Semoga gangguan bekalan air tidak dirancang ini dapat dipulihkan dengan kadar segera dan Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar mereka yang terjejas diberikan ketabahan dalam mengharungi situasi ini kerana kesemua pihak yang terbabit telah bertungkus lumus dalam menangani dan menyelesaikan masalah yang timbul dengan penuh tanggungjawab.