Hari ini Yayasan Pasir Gudang menghantar sumbangan perayaan Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tiong Hua yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Misi penghantaran bantuan dalam Zon Tebrau oleh Datuk Haji Maulizan Bujang dan Tuan Haji Herman Irmadi, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang. Manakala penghantaran di Zon Pasir Gudang oleh Tuan Haji Baharudin Taib, Ketua Whip MBPG dan Saudara Yong Kok Leong, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang.

Setiap tahun Yayasan Pasir Gudang berpeluang meraikan kepelbagaian sambutan perayaan utama bermula dari Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali, Hari Gawai dan juga Hari Krismas. Ini membuktikan semangat perpaduan dan sikap toleransi sesama masyarakat majmuk khususnya di Pasir Gudang.
Seiring dengan hasrat Pengerusi Yayasan Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ‘khidmat bakti dan membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama tetap menjadi keutamaan kita di Pasir Gudang yang sentiasa bermuafakat bagi menjadikan bandar ini terus sejahtera dan maju’.
Ada perbezaan sambutan pada kali ini iaitu keadaan ‘new normal’ dan bersederhana. Namun, Yayasan Pasir Gudang berharap dengan sumbangan kepada masyarakat Tiong Hua yang kurang bernasib baik ini, sedikit sebanyak dapat memberikan sinar keceriaan dan kebahagiaan kepada mereka.