Yayasan Pasir Gudang mengucapkan terima kasih kepada syarikat dan individu persendirian yang telah menyumbang kepada Yayasan Pasir Gudang bagi membekalkan sarapan pagi kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Bandar Seri Alam.
Yayasan Pasir Gudang amat menghargai pengorbanan dan komitmen yang tinggi para petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petugas ini pula berkorban masa dan tenaga menjalankan tugas dengan penuh tabah dan sabar bagi memastikan lapisan masyarakat di luar sana berjaya melalui proses vaksinasi yang sedang dilakukan.
Di atas sebab inilah, Yayasan Pasir Gudang membantu membekalkan sarapan pagi sebagai satu bentuk sokongan kepada petugas barisan hadapan. Jumlah sumbangan ini sekitar RM 84,000 bagi tempoh 7 bulan bermula Jun sehingga Disember 2021.
Moga ikhtiar ini dapat membawa mesej kepada masyarakat di luar untuk bersama-sama menghargai para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab.