TEBRAU : Yayasan Pasir Gudang telah menerima maklumat mengenai sebuah keluarga yang tinggal di Jalan Pulasan 20, Taman Kota Masai yang diduga kebakaran kediaman pada 22 Januari 2022 (Ahad) sewaktu tarikh perayaan Tahun Baru Cina.
Ketika kejadian berlaku, mangsa kebakaran kediaman iaitu Encik Rosdan bin Harun dan isterinya iaitu Puan Norazura binti Sarman telah berada di Kuala Lumpur atas urusan keluarga. Namun begitu, anaknya yang berumur 21 tahun (adik Amirul Haziq bin Rosdan) tidak mengikuti ayahnya dan berada di kediaman ketika kejadian kebakaran terjadi.
Adik Amirul menyedari kebakaran tersebut berlaku apabila sekitar waktu 8:30 malam, beliau terbau asap yang terbakar di bahagian dapur rumah sebelum bergegas untuk melihat situasi yang berlaku.
Apabila tiba di tempat kejadian, api telah mula membara memenuhi ruangan dapur dan telah membakar segala harta benda dan barangan elektrik di kawasan dapur tersebut. namun apakan daya, beliau tidak dapat memadamkan api tersebut sebelum menelefon pihak bomba untuk tiba di tempat kejadian dan meminta bantuan jiran tetangga.
Alhamdulillah pihak bomba dan pihak berkuasa telah tiba dengan kadar segera dan berjaya memadamkan api tersebut dari terus memberi kesan di kawasan perumahan jiran yang lain. Namun begitu, segala barangan perkakas dan harta benda di kawasan ruang tamu dan bilik di bahagian atas tidak dapat diselamatkan.
Syukur kerana anak Encik Rosdan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kehilangan nyawa. Encik Rosdan dan isterinya telah bergegas pulang apabila menerima khabar berita buruk tentang kebakaran kediaman beliau. Punca kebakaran masih berada di bawah siasatan pihak berkuasa dan pihak bomba.
Buat masa kini, beliau sekeluarga tinggal sementara di kediaman saudaranya yang bertempat di Taman Scientex.
Encik Low Sing Huat, Ahli Majlis MBPG Zon Kota Masai 2 dan Tuan Haji Herman Irmadi bin Ismail, Ahli Majlis MBPG Zon Kota Masai 3 mewakili YB Tuan Haji Azizul bin Bachok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram telah hadir untuk melihat sendiri keadaan semasa kediaman Encik Rosdan disamping menghulurkan sumbangan bantuan wang ihsan bencana Yayasan Pasir Gudang dan sumbangan bencana dari YB Tuan Haji Azizul bin Bachok kepada Encik Rosdan.
Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar keluarga Encik Rosdan diberikan kekuatan, ketabahan dan cekal dalam mengharungi ujian dan cabaran yang menimpanya serta semoga digantikan dengan rezeki yang lebih baik pada masa mendatang.