[ 10 Jun 2021, Khamis ] Yayasan Pasir Gudang berpeluang bertemu dengan Encik Abdul Rahman Bin Sulaiman di Taman Desa Rakyat Perdana.
Pilu dan sayu melihat keadaan Encik Abdul Rahman kerana beliau diuji strok di bahagian sebelah kanan sejak tahun lalu. Di samping itu, dirinya juga mempunyai sakit kencing manis dan kolestrol.
Beliau baru sahaja keluar dari Hospital pada 3 Jun lalu dan sering melakukan rawatan kesihatan di Hospital Pakar KPJ Johor. Bagi urusan diri pula, beliau memerlukan pemakaian lampin pakai buang dewasa sepenuh masa dan susu sebagai sumber nutrisi. Dirinya masih boleh duduk tetapi tidak kuat untuk masa yang lama.
Belum cukup dengan ujian yang dirasai oleh Encik Abdul Rahman, isterinya juga diuji dengan sakit buah pinggang. Isterinya sudah lama tidak melakukan rawatan dialisis kerana perjalanan yang jauh ke Hospital Pakar KPJ Johor. Beliau juga baru sahaja keluar dari Hospital pada 3 Jun lalu.
Di sebabkan perjalanan yang jauh untuk mendapatkan rawatan dialisis, anaknya akan membantu membawa ibu dan ayahnya bagi mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai pengangkutan. Sebelum ini, anaknya pernah bekerja di Mr Diy, tetapi atas ihsan kasih sayang anak terhadap ibu dan ayahnya, dirinya berhenti bagi menguruskan kesihatan kedua-dua orang tersayang.
Isterinya, Azizah Binti Rajab memperoleh bantuan bulanan daripada JKM sebanyak RM 400. MAIJ pula telah membantu dalam pembayaran dialisis untuk Puan Azizah. Jiran-jiran juga membantu sumbang keperluan makanan keluarga ini.
Yayasan Pasir Gudang telah memohon bantuan Encik Mohd Azhar Bin Abdullah, ALPA YPG yang juga merupakan CEO KPJ Johor Specialist Hospital bagi membantu mendapatkan slot kekosongan rawatan dialisis isterinya di Hospital Waqaf An Nur Pasir Gudang. Ini bagi memudahkan urusan perjalanan rawatan dialisis kelak. Mudah-mudahan urusan ini dapat diluluskan.
Yayasan Pasir Gudang juga telah menyalurkan sumbangan wang Ihsan Pesakit Kronik, lampin pakai buang dewasa serta barang keperluan untuk Encik Abdul Rahman.
Semoga pemberian ini dapat membantu sedikit sebanyak urusan Encik Abdul Rahman dan isteri serta meringankan beban yang dipikul oleh mereka.
Turut serta bersama Yayasan Pasir Gudang ialah Puan Hajah Haryati Binti Ismail, Ahli Majlis MBPG.