Yayasan Pasir Gudang bersama Tuan Haji Baharudin Taib, Ketua WHIP MBPG ke rumah Encik Saim Bin Garip di Taman Mawar untuk menyampaikan bantuan pesakit kronik yang diberitakan menderita kanser usus tahap 4 sejak tahun lalu. Beliau seorang bekas pereka wau dan pernah menerima anugerah Malaysia Books of Record suatu ketika dahulu.
Kini beliau tidak lagi bekerja akibat derita sakit kanser. Pada November 2020, beliau telah menjalani pembedahan buang batu di hempedu serta ketumbuhan di usus dan kini menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Sultan Ismail. Untuk kos rawatan sebanyak RM53 bagi setiap sesi kimoterapi yang dijalankan. Kami dimaklumkan jua Ahli Majlis Zon Mawar juga berusaha untuk memastikan beliau antara orang yang akan mendapat Bantuan Subsidi Tambang Pesakit Kronik yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Mudah-mudahan segala usaha ini dapat membantu Encik Saim sekeluarga. Kami doakan agar beliau dikurniakan kesihatan dan semangat untuk terus melawan penyakitnya.
Kemudian Kami melawat adik Inara Aleena Binti Abu Bakar yang berusia 6 bulan menghidap sakit jantung sejak lahir lagi. Ayah Inara bekerja sebagai juruteknik dan ibunya kini insan yang sepenuhnya memberi tumpuan penjagaan kepada adik Inara. Adik Inara mempunyai 3 orang abang yang masih di bangku sekolah.
Sejak lahir lagi adik Inara mempunyai sakit jantung dan kini sentiasa memerlukan bantuan mesin oksigen (24 jam) untuk bernafas. Rasa syukur diluahkan ibunya apabila Majlis Agama Islam Negeri Johor membantu dengan memberikan bantuan mesin oksigen. Walaupun doktor mengesahkan tiada rawatan yang dapat menyembuhkannya, Kami yakin adik Inara sentiasa bersemangat dan kuat untuk terus berada disamping keluarga.
Ubat-ubatan adik Inara perlu diambil di hospital setiap 2 minggu sekali dan kos ubat-ubatannya yang mencecah RM 500.

Jika ada mana-mana dermawan yang ingin menyumbang kepada mereka, boleh berhubung dengan kami atau tekan ” sumbangan” di bawah untuk menderma dan menyumbang. Kami dahului dengan ribuan terima kasih.