[ 5 April 2021 ] Ziarah Prihatin pada pagi tadi telah dijalankan di sekitar kawasan perumahan Taman Mawar. Mewakili Yayasan Pasir Gudang adalah Encik Nazri Bin Tangis, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang.
Ziarah bermula di rumah Encik Mohammad Syakir Izzuddin Bin Mohd Aspi. Encik Syakir merupakan Guru Tahfiz (Imam Muda) di Surau Taman Mawar. Beliau telah ditimpa kemalangan semasa menaiki basikal ketika perayaan hari Thaipusam yang lalu.
Akibat daripada kemalangan ini, jari tengah sebelah kirinya patah (simen dah dibuka) manakala bahu sebelah kanannya mengalami kecederaan (masih menggunakan anduh). Beliau telah melakukan pemeriksaan bahu pada 23 Februari lalu dan kini masih dalam cuti sakit. Yayasan Pasir Gudang menghulurkan sumbangan barang keperluan kepada Encik Syakir.
Ziarah yang terakhir di rumah Encik Amir Bin Ibrahim. Encik Amir merupakan pelukis sepenuh masa. Dirinya pernah mengikuti sambutan Hari Belia Johor 2016 di Laman Tun Sri Lanang, Kota Tinggi yang berlangsung pada 16 September 2016 sehingga 18 September 2016.
Beliau telah diuji dengan sakit kencing manis, darah tinggi dan jantung lemah sejak PKP tahun lalu. Penglihatan mata mula pudar sejak PKP 1.0 tahun lalu di mana mata kirinya tidak nampak. Selepas melakukan pemeriksaan mata, didapati hanya 70 peratus sahaja yang masih berfungsi. Pada PKP 2.0, beliau telah berhenti melukis kerana kedua-dua belah mata hanya berfungsi sebanyak 30 peratus. Kini penglihatan mata beliau semakin teruk dan hanya mampu melihat dalam bentuk bayang-bayang. Rawatan susulan telah dilakukan di Hospital Sultanah Aminah pada awal bulan April tahun ini.
Setakat ini, perbelanjaan menggunakan duit simpanan dan pemberian sumbangan daripada penderma. Rumah beliau juga dah tertunggak selama 2 bulan kerana masalah kesihatannya. Alhamdulillah, pada bulan Januari tahun ini, kawan, jiran tetangga dan JKPZ Taman Mawar telah membuat kutipan sumbangan bagi membantu meringankan beban yang dirasainya. Yayasan Pasir Gudang berkesempatan mensalurkan sumbangan kepada Encik Amir.
Semoga dengan kunjungan dan sumbangan yang diberi sedikit sebanyak dapat meringankan dugaan buat Encik Syakir dan Encik Amir. Kami akan mengusahakan bantuan lain yang boleh diberikan kepada mereka. Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar kesemua yang dikunjungi pada hari ini diberikan kesembuhan dan ketabahan dalam mengharungi ujian yang mendatang.