| 1 November 2021 | Isnin |
 
Hari ini, Yayasan Pasir Gudang telah selesai menyantuni 4 buah keluarga di sekitar kawasan Kg Pasir Putih, Taman Cahaya Masai dan Kg Sentosa Damai.
 
[ Keluarga Pertama ]
 
Bermula di Jalan Pengkalan 1, Kg Pasir Putih, melawat Puan Ezra Binti Mahmood.
Puan Ezra merupakan pesakit buah pinggang, paru-paru berkuman dan OKU penglihatan. Beliau mempunyai sakit buah pinggang sejak tahun 2019.
 
Sebelum ini, beliau pernah ditahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selama sebulan disebabkan jangkitan virus Covid-19 tahap 4.Kesan covid-19 ke atas dirinya menyebabkan beliau tidak dapat berjalan dan memerlukan bantuan kerusi roda atau tongkat untuk berjalan. Dari segi penglihatan,mata kanannya kabur manakala mata kiri buta sepenuhnya.
 
Beliau akan menjalani rawatan paru-parunya di HSA, manakala rawatan mata, di Hospital Sultan Ismail (HSI). Rawatan dialisis pula akan dilaksanakan di Prisma Dialisis Utama menggunakan bantuan dari Baitulmal, SOCSO dan JKM.
[ Keluarga Kedua ]
 
Bertemu Puan Nur Laila Sari Binti Nordin di Jalan Bahagia, Kg Pasir Putih.
 
Puan Laila merupakan ibu tunggal yang menjaga 3 orang anaknya disebabkan kematian suami akibat kemalangan di tempat kerja pada 2 Julai tahun ini.
 
Lebih pilu apabila bayinya iaitu adik Nornayla Afia yang baru berusia 4 bulan mempunyai masalah tulang punggung. Adik Afia terpaksa memakai 3 lapis lampin pakai buang bayi untuk melindungi tulang punggung kerana tidak mempunyai sebarang alatan sokongan.
 
Sebelum ini beliau bekerja sebagai kerani, namun mengambil keputusan untuk berhenti bekerja demi menjaga kesihatan adik Afia dan tumpuan sepenuhnya kepada anak-anaknya.
Kini Puan Laila bergantung pada bantuan SOCSO arwah suaminya.
[ Keluarga Ketiga ]
 
Menemui Encik Osman Bin Jainudin di Jalan Berlian, Taman Cahaya Masai.
 
Encik Osman merupakan bekas pesakit virus Covid-19 tahap 5 pada 10 Julai yang lalu. Jangkitan tersebut menyebabkan paru-paru beliau rosak. Beliau pernah ditidurkan sebanyak 3 kali dalam tempoh 2 bulan disebabkan jangkitan virus tersebut.
 
Saluran pernafasan di bahagian leher beliau terpaksa ditebuk disebabkan lendir telah memenuhi sehingga paru-parunya. Kesan ini mengakibatkan beliau terlantar sakit. Encik Osman masih bekerja, namun dalam tempoh cuti sakit sehingga hujung tahun ini.
 
Alhamdulillah baru-baru ini, kesihatan beliau bertambah baik dan boleh berjalan secara perlahan tetapi tidak lama disebabkan tidak kuat. Beliau juga menggunakan lampin pakai buang dewasa untuk urusan diri.
 
Beliau telah menerima bantuan katil pesakit daripada Baitulmal MAIJ, dan ada menerima bantuan keperluan asas daripada JKPZ Surau Taman Cahaya Masai.
[ Keluarga Keempat ]
 
Melawat adik Nik Khairul Asyraf Bin Mohd Ridhwan yang berusia 11 tahun di Jalan Damai, Kg Sentosa Damai.
 
Adik Nik merupakan OKU fizikal pada bahagian kakinya sejak lahir iaitu tumit kakinya ternaik ke atas. Pada tahun 2013 ketika usia 3 tahun, beliau telah menjalani pembedahan kaki.
 
Namun, selepas pembedahan tersebut dilaksanakan, adik Nik mengalami masalah pada saraf kencing dan telah menyebabkan adik Nik terpaksa memakai lampin pakai buang sepenuh masa termasuklah menghadiri ke sekolah.
 
Pada tahun tersebut juga, beliau telah memakai kasut khas untuk membetulkan posisi kakinya, tetapi hanya memakai sehingga umur 4 tahun disebabkan penggunaan kos yang tinggi.
 
Keluarga adik Nik terpaksa memberhentikan rawatan susulan berikutan kos rawatan yang tinggi dan juga tempat rawatan yang agak jauh iaitu di Kuala Lumpur.
 
Bagi memudahkan adik Nik berjalan, dirinya perlu memakai kasut secara terbalik, namun tidak boleh berdiri dalam tempoh yang lama.
 
Sumbangan bantuan wang ihsan pesakit kronik yang dihulurkan kepada 4 buah keluarga hari ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Herman Irmadi Bin Ismail, ALPA. Turut serta adalah Puan Rapenah Binti Ali, Ahli Majlis MBPG (Zon Cahaya Baru/Tg Langsat).
Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top