TEBRAU : Yayasan Pasir Gudang sebelum ini telah menerima maklumat mengenai 5 orang pesakit kronik yang tinggal di sekitar kawasan Zon Taman Kota Masai yang diuji dengan kemalangan atau pelbagai jenis penyakit kronik berbeza.

Oleh demikian, Yayasan Pasir Gudang bersama Tuan Haji Herman Irmadi bin Ismail, Ahli Majlis MBPG Zon Kota Masai 3 dan Encik Sabri bin Kadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan ziarah ke rumah pesakit kronik yang terbabit.

[ Pesakit Kronik : Pertama ]

Dimulakan di Jalan Cermai 10, Taman Kota Masai dengan melawat adik Mohd Iman bin Hairuzaman, 21 tahun yang diuji dengan kemalangan jalan raya pada bulan September 2022.

Ketika kejadian kemalangan berlaku, beliau telah bergesel dengan sebuah kenderaan kereta yang mengakibatkan berlakunya pendarahan di bahagian kepala sehinggakan doktor pakar terpaksa melakukan pembedahan membuang tempurung kepala bagi merawat pendarahan tersebut.

Pada awal peringkat selepas kejadian tersebut, beliau telah mengalami sakit terlantar dan terpaksa ditebuk di leher bagi memudahkan menggunakan mesin kahak serta saluran tiub untuk meminum susu.

Disebabkan keadaan adik Iman yang tidak boleh menguruskan diri sendiri serta memerlukan bantuan dari pihak keluarga untuk bergerak, beliau terpaksa menggunakan lampin pakai buang sepenuh masa bagi urusan harian.

Syukur kerana semasa sesi ziarah dilakukan, keadaan kesihatan adik Iman semakin bertambah pulih dan positif. Tiub pada bahagian lehernya juga telah dicabut. Pada bulan Februari 2023 nanti, adik Iman akan melakukan pembedahan sekali lagi bagi memasukkan tempurung kepala.

[ Pesakit Kronik : Kedua ]

Seterusnya, bertemu Encik Ramli bin Yusoff, 43 tahun serta anaknya iaitu adik Rahimi bin Ramli, 12 tahun di Jalan Mangga 11, Taman Kota Masai.

Encik Ramli merupakan pesakit yang disahkan menghidap kanser hidung tahap 4 pada tahun 2022. Hal ini memberi kesan kepada tahap kesihatan beliau sehinggakan dirinya tidak boleh terkena cahaya matahari apabila berada di luar rumah disebabkan saraf mata pada bahagian kiri akan mengalami kesakitan.

Sebelum ini, beliau berkerja sebagai pemandu lori, namun atas faktor kesihatan yang semakin merosot, beliau terpaksa berhenti kerja pada awal bulan Januari 2023.

Bukan setakat itu sahaja, anaknya iaitu adik Rahimi bin Ramli turut diuji dengan penyakit kronik paru-paru rosak sejak umur setahun lebih lagi. Hal ini menyukarkan adik Rahimi untuk melakukan aktiviti seperti rakan sekelas yang lain kerana bantuan bekalan oksigen dan ubat-ubatan sentiasa perlu dibawa dan digunakan ketika di sekolah dan rumah.

Syukur kerana Baitulmal, MAIJ telah memberi bantuan susu nutrisi kepada adik Rahimi sebagai makanan tambahan sehariannya.

[ Pesakit Kronik : Ketiga ]

Selanjutnya, berjumpa dengan Encik Mohamad Hairi Ikmal bin Samsuri, 22 tahun di Jalan Nenas 26, Taman Kota Masai yang mengalami kemalangan jalan raya di lampu isyarat Taman Kota Masai pada bulan November 2022 ketika berkerja (pemandu food e-hailing),

Kesan kemalangan tersebut mengakibatkan beliau terlantar sakit disebabkan mengalami pendarahan beku pada bahagian kepala, pinggung retak dan kaki kanannya patah. Sepanjang tempoh pemulihan, ibunya iaitu Puan Aisyah binti Idoo telah menjaga segala urusan samada dari segi makan, minum, ubat-ubatan, ataupun lampin pakai buang anaknya itu.

Dijangka pada tahun 2023, Encik Mohamad Hairi akan menjalani pembedahan sekali lagi memasukkan besi di kaki kanannya disebabkan tulang di bahagian tersebut telah patah semula. Syukur kerana Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) telah membantu memberikan bantuan secara bulanan untuk menampung sedikit sebanyak kos rawatan bulanan.

[ Pesakit Kronik : Keempat ]

Seterusnya, bertemu Puan Noor Hayati binti Halim, 50 tahun di Jalan Tembikai 34, Taman Kota Masai yang merupakan pesakit kronik buah pinggang tahap akhir sejak tahun 2020.

Disebabkan keadaan kesihatan beliau yang semakin merosot, beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, lampin pakai buang dewasa dan perlu dipapah oleh anaknya untuk berdiri.

Buat masa kini, beliau hanya bergantung kepada rawatan dialisis di Klinik Kesihatan Masai sebanyak 3 kali seminggu dan syukur kerana segala rawatan dialisis tersebut telah ditanggung menerusi PERKESO dan Baitulmal, MAIJ.

[ Pesakit Kronik : Kelima ]

Di akhiri di Jalan Pulasan 8, Taman Kota Masai dengan berjumpa Encik Muhammad Redzwan bin Mohd Hata, 28 tahun yang diuji dengan penyakit usus melekat sekitar awal bulan Disember 2022. Beliau telah menjalani pembedahan pemotongan usus yang melekat tersebut di Hospital Sultan Ismail, HSI.

Sebelum itu, beliau turut pernah menjalani pembedahan pembuangan apendiks sekitar tahun 2020. Hal ini mengakibatkan beliau tidak dapat melakukan pekerjaan yang berat dan menggunakan tenaga yang banyak disebabkan sakit yang dialaminya.

Di akhir kunjungan, Tuan Haji Herman Irmadi bin Ismail dan Encik Sabri bin Kadir berkesempatan menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik Yayasan Pasir Gudang kepada setiap pesakit kronik yang terlibat pada sesi kali ini.

Moga dengan pemberian sumbangan ini dapat mengurangkan serba sedikit ujian yang mereka harungi serta Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan kesihatan pada masa mendatang.

Kepada individu, dermawan atau syarikat yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh layari ke laman portal rasmi Yayasan Pasir Gudang di :
https://yayasanpasirgudang.org.my

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top