PASIR GUDANG : Baru-baru ini (Jumaat, 17 Mac 2023) di kawasan perumahan Taman Nusa Damai dan Taman Desa Rakyat Perdana telah diadakan sesi ziarah prihatin oleh YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang bersama Encik Nooraizam bin Rowaji, Ahli Majlis MBPG ( Zon Nusa Damai dan Zon Desa Rakyat Perdana).
Seramai 2 orang pesakit kronik yang terbabit pada sesi ziarah prihatin Yayasan Pasir Gudang kali ini.
[ Pesakit Kronik : Pertama ]
Dimulakan dengan bertemu Puan Rohayah binti Mohd Syde (berumur 38 tahun, ibu tunggal) di Jalan Kiara 5, Taman Nusa Damai yang disahkan oleh doktor mengalami kerosakan buah pinggang pada kedua-dua belah organnya yang menyebabkan beliau perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup.
Menurut beliau juga, rawatan dialisisnya bermula sejak 20 September 2022 di Pusat Dialisis Perubatan Islam, Taman Rinting di bawah tanggungan sendiri. Sebelum ini beliau berkerja di sebuah kilang di kawasan Tebrau, namun terpaksa berhenti atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Syukur kerana beliau telah menerima bantuan SOCSO yang dapat membantu sedikit sebanyak kos rawatan mingguan dialisisnya dan buat masa kini, beliau serta anaknya iaitu adik Rabiatul Safiah binti Ayatuh Rahman (berumur 4 tahun) telah menetap sementara di rumah kakaknya.
[ Pesakit Kronik : Kedua ]
Seterusnya, pihak Yayasan Pasir Gudang mengakhiri sesi kunjungan ziarah di Blok B, Taman Desa Rakyat Perdana bertemu Puan Salmah binti Abu Bakar (berumur 58 tahun) yang menghidap sakit kronik diabetis dan suaminya iaitu Encik Asmani bin Salim (berumur 59 tahun) yang mengalami sakit angin pasang.
Menurut butiran yang disampaikan oleh Puan Salmah, sakit diabetis yang dialaminya menyebabkan penglihatan pada kedua-dua belah matanya mengalami kabur, terganggu dan sukar untuk melihat seperti biasa. Oleh yang demikian, pada 11 Januari 2023, beliau telah menjalani pembedahan mata di kawasan sebelah mata kanan dan akan melakukan sekali lagi di kawasan sebelah mata yang lain.
Manakala, suaminya iaitu Encik Asmani telah mengalami sakit angin pasang yang menyebabkan beliau juga terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 5 Januari 2023. Kesannya menyebabkan beliau terpaksa bercuti berkerja (sebagai tukang cuci) beberapa minggu sebelum kembali semula berkerja seperti biasa, namun tidak dapat melakukan perkerjaan yang lasak.
Di akhir kunjungan, YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib telah menghulurkan sendiri sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada pesakit kronik yang terlibat untuk kelangsungan hidup pada masa akan datang yang boleh membantu serba sedikit kos rawatan lanjutan hospital dan ubat-ubatan.
Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar kesemua pesakit kornik yang terlibat diberikan kekuatan, ketabahan dan cekal dalam mengharungi ujian serta semoga digantikan dengan rezeki yang melimpah ruah dan lebih baik.
