PASIR GUDANG : Pada 3 April 2023 (Isnin), Yayasan Pasir Gudang telah meneruskan sesi ziarah untuk bertemu pesakit kronik di sekitar kawasan Taman Scientex.
(Pesakit Kronik : Pertama)
Dimulakan dengan berjumpa Encik Md Hairi bin Nick Sham (45 tahun) di Jalan Kancil 29, Taman Scientex yang mempunyai masalah kesihatan hati dan buah pinggang yang kronik sejak tahun 2021.
Menurut beliau, setiap hari keadaan kesihatannya semakin merosot selepas mengalami muntah darah.
Hal ini mengakibatkan beliau terpaksa berhenti berkerja dan mengalami tekanan emosi kerana masalah kewangan.
Isterinya iaitu Puan Zainon binti Abd Rahman (43 tahun) turut membantu meringankan beban suaminya dengan melakukan pekerjaan sebagai pengasuh, kerja sambilan di kedai kasut dan berniaga membuat kuih.
Anaknya yang berusia 16 tahun juga terpaksa berhenti sekolah bagi membantu ayahnya dengan berkerja di sebuah kedai makan.
(Pesakit Kronik : Kedua)
Selanjutnya, diteruskan di Jalan Nuri 11, Taman Scientex untuk bertemu Puan Safiah binti Sa’ani (61 tahun) yang diuji dengan sakit kulit yang bertompok pada seluruh badan.
Menurutnya, sakitnya itu menyebabkan kulit beliau menjadi kering dan bertambah semakin teruk apabila menerima suntikan vaksin Covid-19 kali ke ketiga.
Pada mulanya, tompok sakit kulitnya bermula dengan saiz yang kecil, namun seiring waktu menjadi semakin besar. Beliau juga mempunyai sakit yang lain seperti darah tinggi dan batu karang.
(Pesakit Kronik : Ketiga)
Diakhiri di Jalan Kenari 21, Taman Scientex untuk berjumpa dengan Puan Rozana binti Osman (45 tahun) yang menderita masalah kanser payudara tahap 4.
Pada permulaan pemeriksaan oleh doktor pakar, kanser payudaranya itu bermula pada tahap 3 sebelum bertambah teruk menjadi tahap 4 pada Disember 2021.
Buat masa kini, beliau telah melakukan rawatan kimoterapi sebanyak 12 kali kitaran serta menjalani pembedahan pembuangan kansernya itu, namun kembali terjadi selepas beberapa bulan dari tempoh pembedahan.
Doktor menyarankan kepada beliau untuk membeli ubat memperlahankan kanser, namun tidak mampu kerana ubat tersebut bagi satu unit menelan kos yang sangat tinggi (RM 1,500 per sesi dari 17 sesi yang perlu dilakukan).
Di akhir kunjungan, selepas mendengar keluhan dan nasib yang mereka hadapi, pihak Yayasan Pasir Gudang telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap pesakit yang terlibat bagi meringankan serba sedikit kos rawatan dan ubat-ubatan yang perlu mereka tanggung.
Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar mereka semua ini sentiasa dimurahkan rezeki, diperluaskan pendapatan dan diberikan ketabahan dan kesembuhan kesihatan terhadap penyakit kronik yang sedang mereka harungi.

