PASIR GUDANG : Yayasan Pasir Gudang bersama YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang telah berkesempatan menziarahi 3 orang pesakit kronik yang menetap di sekitar kawasan Taman Scientex.
Pesakit kronik : Pertama
Dimulakan dengan melawat Cik Ummul Khairiyah binti Mohd Idris (25 tahun) di Jalan Kijang, Taman Scientex yang menurut info diterima mengalami kemalangan jalan raya pada 25 Mei 2023 di kawasan depan pasaraya Econsave Taman Scientex.
Ketika kejadian tersebut berlaku, beliau sedang menaiki kenderaan motor bersama ayahnya (Encik Mohd Idris bin Benu, 64 tahun) untuk membeli barangan keperluan dan secara tiba-tiba sebuah kenderaan kereta melintas dihadapan pintu keluar pasaraya Econsave yang menyebabkan ayahnya kehilangan keseimbangan dan beliau terjatuh dari tempat duduk belakang.
Hal ini bertambah buruk apabila beliau terpelosok di bawah kenderaan tersebut di bahagian tayar hadapan kereta yang menyebabkan bahagian dadanya terhimpit dan mengalami kesukaran bernafas. Beliau secara segera di hantar ke wad kecemasan Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang untuk mendapatkan rawatan.
Alhamdulillah, beliau tidak mengalami sebarang kehilangan nyawa, namun tisu di bahagian belakang badan telah koyak dan ususnya mengalami pendarahan yang kecil. Buat masa kini beliau dalam tempoh cuti sakit dari bekerja (berkerja sebagai Guru Sekolah Agama Taman Scientex).
Pesakit kronik : Kedua
Ziarah seterusnya dilanjutkan ke rumah Encik Abdullah bin Rauh (67 tahun) di Jalan Serindit 7, Taman Scientex yang menderita sakit selaput mata yang tebal dan kecing manis.
Menurut beliau, doktor menasihati dirinya untuk membuat pembedahan mata pada bahagian sebelah kiri dahulu sebelum disambung pembedahan pada bahagian kanan serta kos pembelian kanta agak mahal untuk dibeli kerana dirinya yang sudah bersara (pesara tentera) dan isterinya juga mempunyai sakit kronik.
Isterinya iaitu Puan Rugayah binti Ahmad (64 tahun) mempunyai sakit buah pinggang yang kronik dan pada bulan ini (Jun) baru memasuki kali ketiga rawatan dialisis. Syukur kerana kos rawatan dialisis isterinya itu telah ditanggung oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) milik beliau (Encik Abdullah).
Buat masa kini, kedua-duanya menggunakan bantuan tongkat untuk berjalan dan telah dijaga sepenuhnya oleh anak dan menantu.
Pesakit kronik : Ketiga
Ziarah terkahir diakhiri di Jalan Serindit 14, Taman Scientex untuk bertemu Puan Habsah binti Ahmad (58 tahun) yang menderita sakit buah pinggang kronik dan penglihatan mata kabur sejak tahun 2021.
Menurut perkongsian Puan Habsah, beliau pernah menjalani pembedahan mata pada bulan Ogos 2022, namun tidak berjaya disebabkan terdapat saraf yang bocor. Hal ini mengakibatkan beliau tidak dapat melihat sepenuhnya dan bergantung menerusi bantuan tongkat orang kurang upaya (buta) untuk melakukan pergerakan urusan harian termasuklah untuk mendapat rawatan dialisis di Pusat Dialisis PRIMA, Masai.
Alhamdulillah, pihak Baitulmal (MAIJ) telah membantu menanggung 70 peratus kos rawatan dialisis dan selebihnya Puan Habsah perlu membayar secara sendiri. Beliau juga turut menerima bantuan kerusi roda dari pihak organisasi luar bagi memudahkan urusan harian beliau.
Di akhir kunjungan, YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap individu yang dilawati berserta bakul makanan Yayasan Pasir Gudang.
Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar mereka sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani liku-liku dugaan terutama yang membabitkan kesihatan dan terus sentiasa bersemangat dalam membantu diri mereka untuk kembali pulih seperti sedia kala kerana tiada perkara yang mustahil atas izinNya.

