PASIR GUDANG : Hari ini, YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang telah meluangkan masa beliau untuk bersama-sama menziarahi 5 orang pesakit kronik yang tinggal di sekitar kawasan Perumahan Pangsapuri Taman Cendana.

Pesakit kronik : Pertama

Ziarah kali ini dimulakan dengan melawat Puan Ayang binti Aziz (74 tahun, ibu tunggal) di Blok 12, Taman Cendana yang diuji dengan penyakit barah hidung baru-baru ini pada bulan Mei 2023.

Menurut info yang dikongsi oleh salah seorang cucunya iaitu Encik Jaybir bin Mohd Jamil, kesan barah tersebut pada neneknya itu menyebabkan bahagian muka, kepala dan pipi turut terkesan dengan barah.

Menurutnya lagi, sebelum ini keluarga Puan Ayang ingin meneruskan pembedahan ke atas penyakitnya itu, namun disebabkan faktor umur yang dilanjut usia, pembedahan tersebut tidak dapat dijalankan dan menurut doktor, tiada rawatan khas yang boleh dilakukan ke atas Puan Ayang.

Beliau juga mempunyai penyakit lain seperti darah tinggi, kolestrol dan struktur tapak kaki yang tidak sekata yang menyebabkan dirinya tidak dapat berjalan dengan baik serta perlu sentiasa dipapah untuk menuruni tangga di kawasan rumah pangsapurinya.

Pesakit kronik : Kedua

Seterusnya, Yayasan Pasir Gudang bertemu adik Siti Aisyah binti Abdullah (15 tahun) di Blok 32, Taman Cedana yang mengalami tragedi melecur dari kawasan peha sehingga ke kawasan bawah kaki.

Menurut adik Aisyah, ketika kejadian berlaku, beliau sedang berkerja sebagai pembantu kedai makan di sesebuah warung Taman Nusa Damai dan pada waktu tersebut, dirinya secara tidak sengaja terjatuhkan air panas sehinggakan melecur pada kawasan peha sehingga bawah kaki.

Beliau berkerja sebagai pembantu kedai makan adalah untuk membantu ibunya iaitu Puan Norashikin binti Azmi (37 tahun) bagi mengurangkan beban yang oleh ibunya (berkerja sebagai tukang cuci) dan membantu adik beradiknya yang lain (3 orang adik).

Alhamdulillah, buat masa kini kesan melecur pada adik Aisyah semakin bertambah baik dan kini hanya melakukan rawatan cuci luka secara sendiri di rumah menggunakan ubat yang disarankan oleh doktor.

Pesakit kronik : Ketiga

Bertemu Puan Vija Kumari A/P Muttiah (58 tahun) di Blok 51, Taman Cendana yang menghidap sakit kencing manis. Menurut info yang dikongsi oleh anaknya iaitu Cik Supashini A/P Mathavan (35 tahun), doktor memberitahu bahawa Ibunya tidak mempunyai simptom seperti pesakit-pesakit kencing manis yang lain, namun gula di dalam darahnya secara tiba-tiba pada paras yang tinggi.

Hasil rawatan mendapati bahawa kemungkinan penyakit kencing manis terjadi pada Puan Vija adalah disebabkan hormon pada hatinya terganggu ekoran emosinya yang tidak stabil. Perkara ini telah memberi kesan pada tahap kesihatan Puan Vija sehinggakan kakinya pada bahagian kiri terpaksa dipotong ekoran kencing manis yang tidak dapat dirawat pada bahagian tersebut.

Syukur kerana Puan Vija merupakan penerima bantuan bulanan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penerima Food Aid Programme MyKasih Yayasan Pasir Gudang bagi tahun 2023.

Pesakit kronik : Keempat

Dilanjutkan dengan berjumpa Puan Muziana binti Muhamad (43 tahun) di Blok 48, Taman Cendana yang diuji dengan kehilangan kaki kirinya disebabkan sakit kecing manis.

Menurut beliau, sebelum kakinya terpaksa dipotong, semuanya bermula apabila kaki kirinya tercucuk dengan lidi sate (luka) dan semakin bertambah hari, keadaan luka tersebut bertambah membusuk dan tidak baik yang menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk memotong pada 6 Mac 2023 bagi mengurangkan risiko jangkitan di bahagian yang lain.

Hal ini turut memberi kesan terhadap tubuh badan beliau dibahagian belakang dan punggung apabila mengalami luka disebabkan tidak dapat duduk seperti biasa. Buat masa kini, beliau akan menjalani rawatan cuci luka 2 hari sekali di Klinik Kesihatan Pasir Gudang (KKPG).

Sebelum ini, pihak Yayasan Pasir Gudang juga turut pernah menziarahi anaknya iaitu Mia Dieyanna binti Mohd Ariffin (2 tahun, 4 bulan) yang mempunyai masalah sakit buah pinggang bocor sejak lahir.

Alhamdulillah, Puan Muziana juga turut dibantu oleh Baitulmal (MAIJ) dan juga dari organisasi luar bagi mengurangkan beban dan dugaan yang dihadapi oleh Puan Muziana dan anaknya.

Pesakit kronik : Kelima

Ziarah terakhir diakhiri di kediaman adik Zaidhatul Qistina binti Mohd Rafauzi (16 tahun) di Blok 45, Taman Cendana yang disahkan oleh doktor menghidap kanser Ovari tahap 3 sejak bulan November 2022.

Menurut ibunya iaitu Puan Rohaini binti Ali (50 tahun), anaknya itu telah memulakan rawatan kimoterapi pada bulan februari 2023 (seminggu sekali atau 2 minggu sekali). Pembedahan bagi merawat kanser ovari anaknya itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan terdapat darah beku di bahagian rahimnya.

Rawatan kimoterapi dan suntikan cair darah (2 kali sehari) terus dilakukan sehingga ke hari ini bagi membantu sedikit sebanyak mengecutkan ketumbuhan yang terdapat di bahagian rahim adik Zaidhatul. Ubat jenis Zolaidac (atas saranan doktor) turut perlu diambil bagi mematikan hormon yang boleh mengatifkan kanser ovari tersebut.

Di akhir kunjungan, EYB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap individu yang dilawati berserta bakul makanan Yayasan Pasir Gudang.

Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar mereka sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani liku-liku dugaan terutama yang membabitkan kesihatan dan terus sentiasa bersemangat dalam membantu diri mereka untuk kembali pulih seperti sedia kala kerana tiada perkara yang mustahil atas izinNya.

Turut hadir adalah Encik Nooraizam bin Rowaji (Ahli Majlis MBPG) dan Jawatankuasa Penduduk (JKPZ) Taman Cendana.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top