TEBRAU : Yayasan Pasir Gudang telah meneruskan sesi ziarah dan kali ini berlokasi di sekitar kawasan Taman Kota Masai bagi bertemu 3 orang pesakit kronik yang diturut serta oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang iaitu Tuan Haji Zuraimi bin Khamis, Encik Zainal Abidin bin Abu Bakar dan Puan Hasnina binti Aspari.

Pesakit kronik : Pertama

Dimulai dengan Puan Zaleha binti Abdullah (45 tahun, ibu tunggal) di Jalan Nenas 26, Taman Kota Masai yang mengalami kemalangan jalanraya ketika di tempat kerja pada 15 Disember 2022.

Menurut beliau, ketika kejadian berlaku, dirinya sedang menaiki basikal di kawasan kerja sebelum secara tidak sengaja dilanggar oleh sebuah kenderaan (Hilux) yang dimiliki oleh pembekal di tempat kerja beliau.

Beliau cuba untuk bertahan berdiri ketika kejadian kemalangan tersebut, namun hal ini mengakibatkan kaki kanan tidak dapat menahan beban sebelum mengalami patah disebabkan hentakan kemalangan.

Buat masa kini, dirinya berada dalam cuti sakit dan akan melakukan rawatan fisioterapi sebanyak 2 kali seminggu di hospital. Namun begitu, beliau tidak dapat berdiri secara lama dan kesakitan kerana kawasan patah tersebut telah ditumbuhi tulang yang berlebihan yang menyebabkan bergesel antara kawasan tulang lutut.

Sebelum ini beliau pernah menjalani pembedahan, namun tidak dapat diteruskan untuk pembedahan selanjutnya kerana kawasan yang cedera tersebut mempunyai nanah yang berlebihan yang mengundang kepada risiko ketika dan selepas operasi pembedahan dilakukan.

Pesakit kronik : Kedua

Diteruskan dengan bertemu Encik Shahanshah bin Mohd Khayat (55 tahun) di Jalan Tembikai 32, Taman Kota Masai yang mengalami strok kali ke 7 pada bahagian sebelah kiri badan pada bulan Mei 2023.

Menurut info yang dikongsi oleh beliau, dirinya telah lama menderita sakit strok sejak tahun 2018. Ketika serangan sakit strok kali pertama sehingga ketiga, beliau mendapatkan rawatan di hospital, manakala yang selanjutnya hanya secara rawatan terdekat dan di rumah sahaja.

Pada bulan Disember 2022, beliau mengalami sakit tulang belakang (slip disc) disebabkan terjatuh ketika di rumah dan juga didapati mempunyai kandungan bacaan asid yang tinggi, kencing manis, darah tinggi dan kolestrol tinggi di dalam tubuh badan.

Pesakit kronik : Ketiga

Diakhiri dengan berjumpa Encik Hamdan bin Jaffar (57 tahun) di Jalan Dukong 3, Taman Kota Masai yang diuji dengan sakit kanser usus sejak tahun 2022 dan menderita penyakit jantung (bypass) sejak tahun 2015. Beliau juga mempunyai sakit kencing manis yang kronik.

Kesan sakit yang dialaminya ini menyebabkan kulit kaki beliau mempunyai ruam-ruam gelap dan kesukaran untuk melakukan aktiviti berat. Sebelum ini, dirinya pernah menjalani rawatan pembedahan bypass jantung pada tahun 2015, dan semenjak dari situ beliau tidak lagi berkerja atas faktor kesihatan menghalang.

Buat masa kini, dirinya masih lagi menjalani rawatan susulan seperti biasa di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Belum cukup menderita, isterinya juga iaitu Puan Lasimah binti Abdullah turut disahkan mempunyai sakit jantung yang lemah sejak awal tahun 2023 dan kini hanya mendapatkan rawatan susulan sementara di Klinik Kesihatan Pasir Gudang (KKPG), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan HSA.

Di akhir kunjungan, Tuan Haji Zuraimi bin Khamis telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap individu yang dilawati berserta bakul makanan Yayasan Pasir Gudang.

Semoga kesemua pesakit kronik yang dilawati hari ini sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani liku-liku dugaan terutama yang membabitkan kesihatan dan terus sentiasa bersemangat dalam membantu diri mereka untuk kembali pulih seperti sedia kala kerana tiada perkara yang mustahil atas izinNya.

Turut hadir adalah Puan Hajah Rap’enah binti Ali (Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG)).

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top
preloader