TEBRAU : Yayasan Pasir Gudang bersama Puan Hajah Rap’enah binti Ali (Ahli Majlis MBPG, Zon Cahaya Baru Tg. Langsat) telah berkesempatan menziarahi 4 orang individu pesakit kronik yang menetap di sekitar kawasan Taman Cahaya Masai, Kg Kopok Baru dan Kg Cahaya Baru.

Pesakit kronik : Pertama

Terlebih dahulu dimulakan dengan berjumpa Puan Kamsiah binti Dagang (53 tahun) di Jalan Berlian 7, Taman Cahaya Masai yang menderita kanser payudara sejak tahun 2020. Sepanjang beliau menghidap kanser ini, dirinya telah melakukan beberapa pembedahan dan rawatan kimoterapi.

Namun sejak tahun 2022, Puan Kamsiah menerima satu lagi berita yang tidak baik apabila doktor telah mengesahkan bahawa dirinya telah menghidap kanser otak, fibroid, paru-paru dan tulang.

Beliau kini mengalami terlantar sakit (sejak 4 bulan lalu) dan sentiasa dijaga oleh suaminya iaitu Mohd Zaid bin Mohd yang di mana dirinya terpaksa bergantung terhadap bekalan ubat tahan sakit sepenuhnya, tiub makanan melalui hidung dan tidak dapat menerima sebarang rawatan lain kerana dikhuatiri berlakunya komplikasi.

Alhamdulillah, pelbagai pihak organisasi, individu dan Yayasan Pasir Gudang turut membantu menghulurkan bantuan kepada Puan Kamsiah seperti katil pesakit, lampin pakai buang dewasa dan bantuan kemasukan ke Universiti (untuk anaknya) bagi meringankan derita dan beban yang ditanggung.

Pesakit kronik : Kedua

Seterusnya bertemu Encik Anuar bin Kamin (56 tahun) di Jalan Berlian 15, Taman Cahaya Masai yang diuji dengan sakit kencing manis kronik yang memberi kesan terhadap sarafnya (tersumbat dan bernanah).

Menurut beliau, kakinya terpaksa dipotong sehingga paras lutut di bahagian kaki kiri (disebabkan jangkitan kuman) ketika pembedahan dilakukan pada bulan Oktober 2022. Kini, beliau bergantung sepenuh masa terhadap penggunaan kerusi roda dan lampin pakai buang (jika memerlukan) untuk bergerak dan melakukan pekerjaan (tukang masak di sebuah sekolah Tahfiz).

Encik Anuar juga turut mempunyai penyakit kronik yang lain seperti sakit jantung dan paru-paru berair serta pada tahun 2022, pernah melakukan beberapa kali pembedahan bagi merawat penyakitnya itu.

Pesakit kronik : Ketiga

Dilanjutkan di Jalan Hikmah 4, Kg Kopok Baru bagi bertemu Encik Mohd Faizin bin Dol Karim (37 tahun) yang menderita sakit slip disc (tulang belakang) sejak 3 tahun yang lalu. Akibat kesilapan teknikal ketika rawatan slip disc mengakibatkan berlakunya pengumpulan nanah di bahagian pinggul sehingga merebak ke bahagian peha.

Baru-baru ini pada bulan April 2023, beliau telah selesai menjalani pembedahan pembuangan nanah akibat jangkitan kuman tersebut di bahagian pinggul dan peha. Menurutnya lagi, dirinya berhasrat untuk memiliki bantuan kerusi roda untuk bergerak disebabkan kerusi roda (pinjam dari jiran tetangga) telah rosak.

Alhamdulillah, Yayasan Pasir Gudang mendengar hasrat beliau dan bagi meringakan pergerakan seharian dan beban yang dipikul oleh beliau, Yayasan Pasir Gudang telah menghulurkan sumbangan bantuan kerusi roda kepada Encik Faizin. Kini isterinya (Puan Norazalina bin Mohamed) telah membantu suaminya menampung keluarga dengan meneruskan pekerjaannya seperti biasa (penghantar barang Ninja Van).

Pesakit kronik : Keempat

Diakhiri dengan berjumpa Encik Mohd Noh bin Hamzah (75 tahun) dan Puan Ramlah binti Sulaiman (67 tahun, isteri) di Jalan Gangsa, Peringkat 1, Kg Cahaya Baru yang mempunyai masalah penglihatan sejak tahun 2021 (glukoma) dan sakit kencing manis kronik (isteri).

Berdasarkan info yang dikongsi oleh Encik Mohd Noh, dirinya telah mengalami masalah penglihatan sejak tahun 2021 yang mengakibatkan penglihatannya pada masa kini 100 peratus hilang (buta). Menurutnya lagi, kali terakhir beliau menerima rawatan adalah pada tahun 2021 disebabkan tempoh temu janji rawatan susulan yang terlalu lama dan jauh untuk kesana.

Manakala isterinya pula iaitu Puan Ramlah, diuji dengan kehilangan kaki kiri sehingga paras bawah lutut (dipotong) baru-baru ini pada 10 Jun 2023 disebabkan sakit kencing manis yang kronik. Puan Ramlah masih dalam rawatan cuci luka dan bergantung dengan penggunaan kerusi roda untuk bergerak.

Jiran tetangga dan rakan-rakan suaminya (pencen tentera) turut sentiasa menziarahi Encik Mohd Noh dan Puan Ramlah bagi membantu mengemas dan memasak untuk keperluan seharian mereka berdua.

Di akhir kunjungan, Encik Zainal Abidin bin Abu Bakar (Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang) dan Puan Hajah Rap’enah binti Ali telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap individu yang dilawati berserta bakul makanan Yayasan Pasir Gudang dan sebuah bantal dari pihak Ahli Majlis MBPG dan organisasi di kawasan zon tersebut.

Semoga kesemua pesakit kronik yang dilawati hari ini sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani liku-liku dugaan terutama yang membabitkan kesihatan dan terus sentiasa bersemangat dalam membantu diri mereka untuk kembali pulih seperti sedia kala kerana tiada perkara yang mustahil atas izinNya.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top