TEBRAU | 4 Julai 2023 : Yayasan Pasir Gudang yang diturut serta oleh YB Tuan Haji Azizul bin Bachok (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebrau) bersama Tuan Haji Zuraimi bin Khamis, Encik Zainal Abidin bin Abu Bakar dan Puan Hasnina binti Aspari (Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang) telah selesai menziarahi 6 orang pesakit kronik dan seorang mangsa kebakaran kediaman di sekitar kawasan Kg Sungai Tiram dan Kg Mulia.
Pesakit kronik : Pertama
Dimulakan di Jalan Ahmad Dasuki, Batu 16, Kg Sungai Tiram dengan bertemu Encik Mohd Shalan bin Sapie (49 tahun) yang menghidap sakit kanser Myeloma (darah dan tulang) tahap 4 sejak bulan Januari 2023.
Sakit kanser ini mengakibatkan beliau terlantar sakit dan hanya mampu bergerak sekiranya menggunakan bantuan kerusi roda sepenuhnya. Buat masa kini, beliau masih menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan telah memasuki kitaran yang keenam, namun belum diketahui jumlah rawatan kitaran yang perlu dilakukan.
Adik beradik dan saudara mara yang terdekat banyak membantu beliau disebabkan dirinya tidak mampu berkerja atas faktor kesihatan dan hanya menetap bersama ibunya iaitu Puan Maidah binti Dawok (75 tahun).
Mangsa Kebakaran Kediaman
Seterusnya bertemu Encik Arbain bin Haron (65 tahun) di Jalan Ahamd Dasuki, Batu 16, Kg Mulia yang menjadi mangsa kebakaran kediaman pada 30 Jun 2023 sekitar waktu 6:45 pagi.
Menurut beliau, kesan kebakaran tersebut mengakibatkan 1 bilik dan sebahagian ruang tamunya termasuk barang perkakas rumahnya telah mengalami kerosakan dan kemusnahan. Kini, beliau menumpang sementara di rumah jirannya disamping menunggu keputusan siasatan lanjutan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan forensik.
Pesakit kronik : Kedua
Selanjutnya bertemu Encik Hamidin bin Maharoni (67 tahun) di Jalan Ahamd Dasuki, Kg Sungai Tiram yang menderita penglihatan (Buta, Orang Kurang Upaya) sejak 10 tahun yang lalu.
Menurut info yang dikongsi oleh beliau, punca utama dirinya mengalami buta disebabkan habuk kayu yang kerap memasuki matanya ketika berkerja mengakibatkan saraf di bahagian matanya terganggu dan terkesan.
Pesakit kronik : Ketiga
Bertemu Encik Musa bin Hasim (40 tahun, OKU) di Jalan Haji Noh, Batu 18, Kg Sungai Tiram yang diuji sejak lahir mempunyai kaki yang kecil, mempunyai masalah percakapan dan menghidap sakit sawan.
Menurut ibunya iaitu Puan Saodah binti Marki (63 tahun), anaknya itu masih menjalani rawatan sakit sawan dan diberikan ubat secara berkala selama sebulan sekali di Klinik Kesihatan Tiram bagi mengurangkan sawan dan apabila anaknya itu ingin bergerak melakukan rutin harian, dirinya (anak) akan berjalan secara mengesot atau menggunakan kerusi roda.
Pesakit kronik : Keempat
Seterusnya bertemu Encik Omar bin Ahmad (67 tahun) di Jalan Kampung SC, Batu 18, Sungai Tiram yang menghidap sakit kanser prostat dan kanser tulang tahap 4 yang memberi kesan kepada beliau dari segi pergerakan sekiranya tanpa bantuan kerusi roda.
Menurutnya, beliau dapat mengetahui dirinya menghidap sakit kanser tersebut adalah apabila dirawat di hospital disebabkan kaki kanan sehingga bahagian pinggul patah ketika terjatuh dari katil di kediamanya pada 22 September 2022.
Selepas menjalani beberapa rawatan kimoterapi, doktor mengesahkan beliau masih mempunyai sel kanser yang aktif dan perlu meneruskan rawatan lanjutan. Namun begitu, buat masa kini, beliau tiada pendapatan bulanan dan hanya bergantung terhadap duit simpanan dan pemberian sumbangan bantuan dari saudara mara.
Pesakit kronik : Kelima
Diteruskan ziarah di Jalan Sempadan, Batu 16 1/4, Mukim Sungai Tiram dengan bertemu Encik Fauzan bin Ibrahim (37 tahun) yang diuji dengan ujian yang berat iaitu mengalami sakit kanser paru-paru tahap 4 sejak bulan Mei 2023.
Menurut info yang dikongsi oleh Encik Fauzan, pada mulanya beliau memikirkan bahawa dirinya hanya mengalami masalah semput biasa dan kadangkala sukar bernafas, namun apabila diperiksa oleh doktor mengesahkan bahawa beliau telah menghidap sakit kanser paru-paru pada tahap 4 selepas mengambil sampel sel dari paru-parunya.
Selepas dari situasi tersebut, kesihatan beliau semakin bertambah merosot dari hari ke hari sehinggakan dirinya sakit terlantar disebabkan tidak mampu bergerak. Buat masa kini, beliau hanya bergantung terhadap bantuan mesin oksigen sepenuh masa yang disewa setiap bulan untuk kegunaan harian dan mengikuti beberapa rawatan susulan.
Encik Fauzan juga sebelum ini berhasrat untuk memiliki katil pesakit bagi membantu meningkatkan pengaliran darah dan pernafasan disebabkan keadaan kesihatan semasa dan Alhamdulillah Yayasan Pasir Gudang membuat keputusan untuk menyalurkan sumbangan katil pesakit kepada Encik Fauzan bagi meringankan beban yang dipikul serta memudahkan harianya.
Pesakit kronik : Keenam
Diakhiri di kediaman Puan Leha binti Putih (59 tahun) di Kg Air Putih, Sungai Tiram yang menghidap sakit kanser kimfowa tahap 2 sejak bulan Mac 2023.
Menurut beliau, sakit kanser limfoma ini memberi kesan yang sangat mendalam sehinggakan menyukarkan pergerakan (berjalan) yang memerlukan bantuan kerusi roda dan memakai lampin pakai buang dewasa sepenuh masa untuk urusan diri.
Buat masa kini, beliau telah selesai menjalani rawatan kitaran kimoterapi sebanyak 6 kali (21 hari sekali) di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Di akhir kunjungan ziarah, YB Tuan Haji Azizul bin Bachok dan Tuan Haji Zuraimi bin Khamis telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap individu yang dilawati berserta bakul makanan Yayasan Pasir Gudang.
Semoga kesemua pesakit kronik yang dilawati hari ini sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani liku-liku dugaan terutama yang membabitkan kesihatan dan terus sentiasa bersemangat dalam membantu diri mereka untuk kembali pulih seperti sedia kala kerana tiada perkara yang mustahil atas izinNya.





