TEBRAU : Yayasan Pasir Gudang bersama Tuan Haji Zuraimi bin Khamis, Encik Zainal Abidin bin Abu Bakar dan Puan Hasnina binti Aspari (Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang) yang diturut serta oleh Puan Hajah Rap’enah binti Ali (Ahli Majlis MBPG) telah selesai menziarahi 3 orang pesakit kronik di sekitar kawasan Taman Kota Masai.

Pesakit kronik : Pertama

Dimulakan dengan menziarahi Puan Siti Zawiah binti Osman (50 tahun) di Jalan Kuini 1, Taman Kota Masai yang mempunyai sakit kencing manis kronik dan darah tinggi.

Menurut info yang dikongsi oleh beliau, dirinya telah kehilangan 2 jari kaki kanannya (terpaksa dipotong) disebabkan penyakit kencing manis dan pembedahan tersebut telah dijalankan pada 12 Jun 2023. 2 hari sekali, Puan Zawiah akan menjalani rawatan cuci luka di Klinik Kesihatan Masai.

Pesakit kronik : Kedua

Diteruskan dengan berjumpa Puan Rosmawati binti Yusuf (54 tahun) yang menghidap sakit tulang belakang (slip disc) dan saraf yang kronik sejak bulan Jun 2022. Namun, baru-baru ini, doktor pakar mengesahkan beliau mempunyai masalah sakit jantung (belum diketahui punca) dan paru-paru berair.

Menurut beliau, pembedahan yang melibatkan sakit tulang belakangnya akan berlangsung pada masa terdekat ini, namun terpaksa ditangguhkan oleh doktor pakar disebabkan masalah kesihatan lain (jantung dan paru-paru) yang boleh mengakibatkan komplikasi yang merbahaya terhadap Puan Rosmawati.

Oleh sebab demikian, beliau masih dalam rawatan susulan di hospital dan buat masa kini bergantung sepenuhnya terhadap bantuan kerusi roda untuk bergerak yang dibantu oleh suami dan anak-anaknya disebabkan keadaan dirinya yang terlalu lemah.

Pesakit kronik : Ketiga

Diakhiri dengan bertemu Encik Mohd Faidhzul bin Samsu (36 tahun) di Jalan Tembikai 16, Taman Kota Masai yang menderita sakit gaot sejak 10 tahun yang lalu.

Namun pada bulan Jun 2023, tahap kesihatan beliau semakin bertambah merosot sehinggakan ketulan dan jangkitan kuman gaot di tangannya telah pecah yang menyebabkan dirinya mengalami pendarahan yang banyak sehinggakan terpaksa menjalani pembedahan membuang ketulan tersebut dan rawatan yang terperinci di Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang.

Kini, beliau masih dibawah pantauan doktor pakar dan perlu melakukan rawatan cuci luka sebanyak 3 hari sekali disebabkan terdapat masih luka dan pendarahan yang keluar (masih terkawal) dari ketulan gaot tersebut.

Di akhir kunjungan ziarah, Tuan Haji Zuraimi bin Khamis telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap individu yang dilawati berserta bakul makanan Yayasan Pasir Gudang.

Semoga kesemua pesakit kronik yang dilawati hari ini sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani liku-liku dugaan terutama yang membabitkan kesihatan dan terus sentiasa bersemangat dalam membantu diri mereka untuk kembali pulih seperti sedia kala kerana tiada perkara yang mustahil atas izinNya.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top