PASIR GUDANG : Yayasan Pasir Gudang bersama Encik Guru Naidu A/L Subramaniam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang telah selesai mengunjungi 3 orang pesakit kronik di sekitar kawasan perumahan Bandar Seri Alam.

PESAKIT KRONIK : PERTAMA

Dimulakan dengan melawat adik Faris Danial bin Azhan (berumur 21 tahun) di Blok A, Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam yang telah kehilangan tangan dan kaki kanannya disebabkan kemalangan jalan raya pada 20 Oktober 2022.

Ketika kejadian berlaku, adik Faris dalam perjalanan pulang ke rumah pelajar dari pusat pengajian di Adtech, Batu Pahat sebelum lori pengangkutan sampah terlanggar (pemandu lori tidak menyedari kelibat motosikal) dan mengakibatkan tangan dan kaki kanan beliau putus.

Beliau telah menjalani 3 kali pembedahan pada bahagian tangan yang terputus bagi mengelakkan pendarahan berlaku. Buat masa kini, keadaan semasa adik Faris semakin stabil dan hanya melakukan rawatan fisiopterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) serta rawatan cuci luka tangan dan kakinya secara di persendirian.

Syukur kerana ibunya iaitu Puan Razita binti Mat Zain sentiasa menjaga anaknya dari segi kos rawatan, dan rutin harian serta Baitulmal, MAIJ juga telah membantu adik Faris secara bantuan bulanan.

PESAKIT KRONIK : KEDUA

Seterusnya bertemu Encik Ismail bin Mohd Kassim (57 tahun) yang tinggal di Jalan Tasek 35, Bandar Seri Alam. Beliau merupakan pesakit kronik yang diuji dengan sakit serangan strok sejak bulan Ogos 2022.

Beliau juga mempunyai sakit kencing manis yang kronik dan hal ini mengakibatkan kaki kanan beliau terpaksa dipotong pada bulan Januari 2021 yang lalu. Oleh sebab demikian, beliau tidak mampu bergerak dan sentiasa memerlukan bantuan kerusi roda dan bantuan orang lain sekeliling untuk mengangkat dan menghantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

Di sebabkan Encik Ismail sentiasa menggunakan bantuan kerusi roda untuk bergerak, keadaan semasa kerusi roda lamanya semakin menuju ke penghujungnya. Hal ini mengakibatkan beliau mengalami kesukaran untuk melakukan rutin harian seperti biasa.

Oleh sebab itu, pihak Yayasan Pasir Gudang telah mendengar keluhan dan mengambil kesempatan untuk menghulurkan bantuan kerusi roda kepada Encik Ismail seperti mana yang diminta.

Alhamdulillah, kerana Encik Ismail juga merupakan penerima bantuan bulanan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, MAIJ.

PESAKIT KRONIK : KETIGA

Diakhiri dengan berjumpa Encik Muhamad Iskandar bin Ramli (berumur 31 tahun) di Jalan Suria 49, Bandar Seri Alam. Beliau telah lama menderita dan mempunyai masalah dari segi penglihatan sejak tahun 2016 lagi.

Doktor pakar mendapati bahawa kornea mata beliau telah pecah dan penglihatan keseluruhan semakin terhad. Sebelum ini, beliau hanya mengalami kerosakan penglihatan pada bahagian mata kirinya (telah menjalani pembedahan kanta kornea), namun sekitar tahun 2021, mata pada bahagian kanannya pula telah mengalami kerosakan.

Doktor pakar menasihatkan beliau untuk menjalani rawatan dan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur pada bulan Januari 2023 dengan kadar segera bagi mengelakkan kerosakan penglihatan yang lebih teruk pada mendatang. Namun begitu, kos pembedahan sebelah mata sahaja mencecah anggaran RM 10,000.00.

Syukur kerana pihak JKM telah membantu beliau secara bantuan bulanan bagi meringankan beban kos pengangkutan untuk mendapatkan rawatan kesihatan setiap bulan. Ayahnya iaitu Encik Ramli bin Mohd Salleh juga sebelum ini merupakan penerima bantuan Ziarah Pesakit Kronik dan Nursing Home Visit dari pihak Yayasan Pasir Gudang.
Link : https://yayasanpasirgudang.org.my/ziarah-prihatin-pesakit-kronik-ypg-3/

Di akhir kunjungan, Encik Guru Naidu A/L Subramaniam telah menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada setiap pesakit kronik yang terlibat pada sesi kali ini.

Moga dengan pemberian sumbangan ini dapat mengurankan serba sedikit ujian yang mereka harungi serta Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan kesihatan pada masa mendatang.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top