PASIR GUDANG : Yayasan Pasir Gudang sebelum ini telah menerima maklumat mengenai 4 orang pesakit kronik yang tinggal di kawasan Taman Air Biru yang diuji dengan pelbagai jenis penyakit kronik berbeza.

Oleh demikian, Yayasan Pasir Gudang bersama Encik Ed Baela bin Muhalajah, Ahli Majlis MBPG Zon Air Biru mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan ziarah ke rumah pesakit kronik yang terbabit.

[ Pesakit Kronik : Pertama ]

Dimulakan di Blok 37, Taman Air Biru dengan melawat Puan Rodziah binti Salim (berumur 54 tahun) yang sakit terlantar disebabkan penyakit kronik yang masih belum dikenal pasti oleh doktor pakar sejak bulan Jun 2021.

Pada awal permulaan Jun 2021, beliau telah mengalami bengkak pada bahagian kakinya dan telah pergi ke Hospital untuk mengetahui punca sebenar sakit yang terjadi pada dirinya. Namun begitu sehingga kini, doktor pakar masih belum memperoleh sebarang maklmuat mengenai jenis penyakit yang menimpanya untuk dirawat.

Hal ini mengakibatkan kesihatan beliau semakin bertambah merosot sehinggakan beliau terlantar sakit di kediaman (memerlukan katil pesakit) dan tidak boleh berjalan untuk menguruskan urusan harian seperti biasa. Syukur kerana anak-anaknya telah membantu menguruskan keperluan dan jagaan rapi sepanjang beliau terlantar sakit.

Mendengar kisah dan ujian yang menimpa Puan Rodziah serta beliau yang memerlukan bantuan katil pesakit, Yayasan Pasir Gudang telah mengambil langkah untuk menghulurkan sumbangan katil pesakit kepada Puan Rodziah bagi kegunaan harian beliau.

[ Pesakit Kronik : Kedua ]

Seterusnya, bertemu Encik Ariffin bin Md Noor di Blok 53, Taman Air Biru. Isterinya iaitu Puan Siti Jayana merupakan pesakit kencing manis yang kronik. Sejak dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini, kesihatan isterinya semakin bertambah merosot.

Isterinya telah mengalami luka pada bahagian belakang badannya disebabkan terlantar sakit di katil pada tempoh yang lama atas faktor kesihatan yang merundum dan tidak boleh berjalan. Namun begitu, pada 25 November 2022, isterinya telah menghembuskan nafas yang terakhir.

Yayasan Pasir Gudang menyampaikan salam takziah buat keluarga Encik Ariffin dan berduka cita di atas berita pemergian Puan Siti Jayana. Semoga Encik Ariffin sekeluarga diberikan ketabahan dan kekuatan sepanjang mengharungi masa mendatang dan dipermudahkan segala urusan.

[ Pesakit Kronik : Ketiga ]

Selanjutnya, berjumpa dengan Encik Zainal Abidin bin Abu Hassan (berumur 70 tahun) di Lorong 10, Jalan 9/11, Taman Air Biru yang telah menderita dan diuji pelbagai penyakit kronik sejak sekian lama.

Beliau mempunyai penyakit kronik seperti sel darah putih yang tinggi, kencing manis kronik, sakit jantung, buah pinggang tahap 3, paru-paru lemah serta jangkitan kuman dan bernanah pada bahagian buah zakar.

Beliau telah mengalami demam selama 3 hari yang menyebabkan buah zakar menjadi besar dan kulit pecah. Pada bulan Oktober tahun 2022, beliau telah melakukan pembedahan pertama bagi membuang nanah dan telah juga selesai melakukan pembedahan kedua dengan menampal kulit pada buah zakar pada bulan November 2022 baru-baru ini.

Encik Zainal Abidin juga merupakan penerima bantuan Yayasan Pasir Gudang bagi program Food Aid Program MyKasih Yayasan Pasir Gudang yang telah bermula pada bulan Jun 2022 sehingga bulan April 2023.

[ Pesakit Kronik : Keempat ]

Di akhiri di Jalan Perjiranan 8/24, Laman Kiara, Taman Air Biru dengan bertemu adik Abdul Aqeef Adham bin Abd Karim (berumur 4 tahun) yang telah disahkan oleh doktor pakar menghidap kanser Medulla Plastema (kanser otak) sejak bulan Oktober 2021.

Adik Aqeef telah menjalani pembedahan kali pertama di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan kos perbelanjaan keseluruhan rawatan menelan hampir RM 60,000.00. Syukur kerana bantuan kewangan untuk pembedahan pertama ini telah dibantu menerusi sumbangan daripada saudara mara dan rakan-rakan ahli keluarga ayah dan ibu adik Aqeef.

Buat masa kini, adik Aqeef sedang menjalani rawatan kimoterapi bagi kitaran kali ketiga. Namun begitu, keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) kitaran ketiga mendapati bahawa 60 % sel kanser kembali aktif dan doktor menyarankan untuk melaksanakan pembedahan kali kedua dengan kadar segera.

Di akhir kunjungan, Encik Ed Baela bin Muhalajah berkesempatan menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik Yayasan Pasir Gudang kepada setiap pesakit kronik yang terlibat pada sesi kali ini.

Moga dengan pemberian sumbangan ini dapat mengurangkan serba sedikit ujian yang mereka harungi serta Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan kesihatan pada masa mendatang.

Kepada individu, dermawan atau syarikat yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh menerusi ke akaun rasmi Yayasan Pasir Gudang di :

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top