TEBRAU : Yayasan Pasir Gudang bersama YB Tuan Haji Azizul bin Bachok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang telah selesai mengunjungi 3 buah kediaman yang terdiri dari 2 orang pesakit kronik dan sebuah keluarga berbangsa Tiong Hua (bagi lawatan Tahun Baru Cina) di sekitar kawasan perumahan Tanjung Puteri Resort dan Taman Pasir Putih.
[ Pesakit Kronik : Pertama ]
Dimulakan di Jalan Seluang 3, Tanjung Puteri Resort dengan menziarahi Puan Nur Haslinda binti Abdullah, 50 tahun yang menderita sakit strok pada bahagian otak sejak bulan Julai tahun 2021 lagi. Bukan setakat itu sahaja, beliau juga mempunyai sakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik.
Ketika ziarah berlangsung, beliau terlantar sakit di katil pesakit disebabkan bahagian kaki dan tangannya tidak dapat bergerak seperti biasa dan sentiasa memerlukan bantuan dari suaminya iaitu Encik Salim bin Ismail, 62 tahun dan kerusi roda untuk melakukan rutin harian.
Suaminya akan membawa beliau ke Hospital Sultan Ismail, HSI sebulan sekali bagi tujuan rawatan kesihatan dan mengetahui perkembangan tahap kesihatan semasa. Oleh sebab kesihatan yang tidak mengizinkan, beliau perlu memakai lampin pakai buang dewasa sepenuh masa dan meminum minuman susu nutrisi bagi keperluan khasiat tubuh badan.
Puan Haslinda juga pernah menerima sumbangan ihsan pesakit kronik dari pihak Yayasan Pasir Gudang pada bulan Julai 2021.
[ Pesakit Kronik : Kedua ]
Diteruskan dengan melawat adik Muhammad Luqman Hakim bin Iszaidi, 6 tahun di Jalan Seluang 8, Tanjung Puteri Resort yang menghidap penyakit kronik yang membabitkan saraf sejak lahir lagi.
Kesan jangka panjang menyebabkan adik Luqman mengalami bintik-bintik hitam pada kulit dan matanya di bahagian kanan akan mengalami pendarahan, lebam dan keluar darah sekiranya ditimpa sakit demam ataupun ketika menangis. Semakin meningkat usia, lebam pada bahagian matanya akan bertambah besar.
Sebelum ini, adik Luqman pernah melakukan pembedahan pada kawasan mata di Hospital Kuala Lumpur, HKL, namun pendarahan pada bahagian mata yang terlibat tetap berlaku dan mempunyai masalah sehingga ke hari ini.
Pihak Baitulmal, MAIJ telah menghulurkan sumbangan bulanan bagi membantu adik Luqman dan keluarga menggunakannya untuk kos rawatan dan keperluan harian adik Luqman.
[ Keluarga : Puan Tan Poh Hwa ]
Di akhir kunjungan ziarah, Yayasan Pasir Gudang turut berkesempatan mengadakan lawatan sempena perayaan Tahun Baru Cina di kediaman Puan Tan Poh Hwa, 56 tahun (ibu tunggal) yang bertempat di Jalan Asli 16, Taman Pasir Putih.
Sepanjang sesi lawatan berlangsung, YB Tuan Haji Azizul bin Bachok telah bertanya khabar dan bertegur sapa mengenai suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang telah Puan Tan lalui bersama keluarga sebagai ibu tunggal yang turut mempunyai seorang anak OKU iaitu Encik Teh Siu Wern, 26 tahun dari 4 orang anaknya.
Beliau bersyukur kerana pihak Yayasan Pasir Gudang sudi berkunjung ke kediaman dan mengingati mereka bagi berkongsi rezeki bersama-sama sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Setiap pesakit kronik yang dikunjungi telah menerima sumbangan wang ihsan pesakit kronik yang telah disampaikan oleh YB Tuan Haji Azizul bin Bachok. Turut serta sepanjang sesi ziarah dan lawatan berlangsung adalah Tuan Haji Herman Irmadi bin Ismail, Ahli Majlis MBPG Zon Kota Masai 3.
Yayasan Pasir Gudang mendoakan agar kesemua pesakit kornik yang terlibat diberikan kekuatan, ketabahan dan cekal dalam mengharungi ujian dan cabaran pada masa mendatang serta digantikan dengan rezeki yang melimpah ruah dan lebih baik.
Info dan berita, layari ke :
https://yayasanpasirgudang.org.my
#YPGPrihatin
#YayasanPasirGudang
![](https://mlnljar5hnab.i.optimole.com/cb:Kbu0.4ff10/w:960/h:720/q:mauto/f:best/ig:avif/https://yayasanpasirgudang.org.my/wp-content/uploads/2023/01/WhatsApp-Image-2023-01-30-at-4.07.29-PM-2.jpeg)
![](https://mlnljar5hnab.i.optimole.com/cb:Kbu0.4ff10/w:960/h:720/q:mauto/f:best/ig:avif/https://yayasanpasirgudang.org.my/wp-content/uploads/2023/01/WhatsApp-Image-2023-01-30-at-4.07.29-PM.jpeg)