[ 1 Julai 2021, Khamis ] 3 buah keluarga telah selesai diziarahi hari ini oleh Yayasan Pasir Gudang di Bandar Seri Alam dan Taman Flora Height yang diketuai oleh Encik Guru Naidu A/L Subramaniam, ALPA YPG.
Keluarga Pertama
Dimulai dengan Puan Norafizah Binti Osman di Bandar Seri Alam. Puan Norafizah merupakan seorang suri rumah dan juga ibu tunggal. Suaminya baru sahaja meninggal dunia bulan Februari lalu akibat sakit jantung. Beliau menghidap kanser rahim tahap 2 sejak bulan September tahun lalu.
Pada permulaan, beliau menyedari bahawa dirinya tidak mengalami ‘kitaran wanita’ selama 5 tahun. Selepas membuat pemeriksaan di Hospital, Doktor Pakar mengesahkan dirinya menghidap kanser rahim.
Berat badan semakin turun disebabkan badannya tidak boleh menerima makanan dan bergantung sepenuhnya kepada minuman susu. Beliau juga tidak boleh berjalan lama dan tidak kuat untuk melakukan kerja berat kerana kesan dari suntikan di belakang badannya sebanyak 4 kali.
Sebulan atau 2 bulan sekali, beliau akan melakukan rawatan susulan dan kimoterapi di Hospital Sultanah Ismail, HSI untuk mengetahui perkembangan tahap kansernya itu. Jiran atau anak akan menghantar beliau ke hospital untuk rawatan seterusnya.
Yayasan Pasir Gudang menyalurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada Puan Norafizah.

Keluarga Kedua
Seterusnya adalah Encik Ruzaini Bin Jaafar yang ditimpa sakit akibat kemalangan tahun lalu. Beliau telah dijangkiti kuman dalam paru-paru dan juga menghidap sakit tuberculosis (TB). Semuanya bermula dari pembedahan memasukkan skru di bahagian tangannya yang patah tahun lalu. Tempat pasang skru menjadi bernanah dan kuman telah merebak ke paru-paru. Beliau juga mudah terkena demam.
Akibat sakitnya ini menyebabkan beliau tidak boleh berjalan dan mengalami kekurangan selera makan. Beliau ditahan di hospital selama 2 bulan dan baru sahaja keluar pada 3 Jun lalu. Kini, beliau hanya makan ubat untuk sakit TB tetapi kesan sampingan ubat tersebut akan menjadikan beliau cirit birit. Beliau bergantung kepada lampin pakai buang dewasa sepenuh masa.
Yayasan Pasir Gudang menghulurkan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada Encik Ruzaini.

Keluarga Ketiga
Keluarga terakhir adalah Encik Tan Kweng Chiang di Taman Flora Height. Encik Tan merupakan pesakit yang mempunyai darah beku di kepala. Sakitnya ini terjadi apabila beliau terjatuh di rumah adiknya di Mount Austin.
Disamping itu, beliau juga mempunyai masalah kencing yang tidak teratur dan masalah pendengaran yang tidak jelas serta darah tinggi. Beliau akan menggunakan bantuan tongkat untuk berjalan dan akan memakai lampin pakai buang dewasa apabila hendak ke Hospital sahaja.
Yayasan Pasir Gudang berkesempatan menghulurkan wang tunai dan bakul makanan kepada Encik Tan.