[ 28 Julai 2021, Rabu ] Sebentar tadi, 3 buah keluarga di kawasan Kg Pasir Putih dan Tanjung Puteri Resort telah selesai dikunjungi oleh Yayasan Pasir Gudang bersama Tuan Haji Herman Irmadi Bin Ismail, ALPA YPG.

Keluarga Pertama

Bertemu dengan Encik Zahid Bin Baba di Kg Pasir Putih. Beliau mengalami kerosakan kulit pada bahagian atas kaki sehingga hujung jari kaki.

Perkara ini terjadi pada dirinya di bulan November tahun lalu disebabkan beliau bekerja sebagai nelayan dan ketika kejadian, beliau terkena jangkitan yang berpunca daripada air laut yang tercemar dengan bahan kimia.

Beliau tidak dapat bekerja semenjak tempoh kejadian jangkitan ini menimpanya kerana kesukaran berjalan seperti biasa dan memerlukan bantuan tongkat untuk berjalan.

Anak sulungnya iaitu Nur Shuhaibu telah membantu menyara ayah dan ibunya. Namun, beliau diberhentikan kerja semenjak perlaksanaan PKP baru-baru ini.

2 hari sekali, Encik Zahid akan melakukan rawatan cuci luka di Klinik Kesihatan. Anaknya akan membantu menghantar beliau untuk melakukan rawatan susulan di Hospital atau Klinik Kesihatan.

Sumbangan wang ihsan pesakit kronik telah disalurkan oleh Yayasan Pasir Gudang kepada Encik Zahid.

Keluarga Kedua

Di Kg Pasir Putih berjumpa Puan Siti Hajar Muni Binti Abdullah yang menghidap penyakit ketumbuhan dalam rahim (Fibroid). Puan Hajar merupakan seorang mualaf dan ibu tunggal kepada 4 orang anak.

Pada 30 Mei yang lalu, beliau telah menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhannya di Hospital Sultan Ismail, HSI. Kini, luka pembedahannya masih dalam proses pemulihan dan beliau akan mencuci secara sendiri di rumah. Manakala barang-barang untuk cucian luka perlu dibeli oleh beliau secara sendiri.

Setakat ini tiada rawatan susulan yang perlu dijalani oleh beliau namun hanya tinggal sekali sahaja rawatan kesihatan perlu dilaksanakan untuk melihat perkembangan kesihatan hasil daripada pembedahan lalu.

Beliau tidak dapat bekerja kerana kesihatannya dan setakat ini adik beliau yang banyak membantu dari segi kewangan untuk menyara hidup dan kos rawatan buat sementara waktu.

Yayasan Pasir Gudang menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada Puan Hajar.

Keluarga Ketiga

Berjumpa dengan Puan Nur Haslinda Binti Abdullah di Tanjung Puteri Resort. Puan Haslinda diserang sakit strok di bahagian otaknya pada awal bulan Julai iaitu 9 Julai 2021. 

Beliau terlantar sakit disebabkan strok yang dialaminya dan menyebabkan bahagian kaki dan tangannya tidak boleh bergerak seperti biasa. Beliau hanya boleh bergerak sekiranya menggunakan bantuan kerusi roda.

Sebulan sekali, beliau akan menjalani rawatan susulan di HSI. Alhamdulillah, pada 21 Julai yang lalu di Klinik Kesihatan Pasir Gudang, tiub untuk saluran minum susu telah dicabut kerana kesihatannya bertambah baik.

Setakat ini, beliau hanya bergantung kepada penggunaan lampin pakai buang dewasa dan minuman susu khas untuk urusan seharian.

Sumbangan wang ihsan pesakit kronik dan lampin pakai buang dewasa telah disumbang oleh Yayasan Pasir Gudang kepada Puan Haslinda.

Stay connected
Insta-worthy
Don\
Let's Chat
Scroll to Top