[ 4 Ogos 2021, Rabu ] Bersama Yayasan Pasir Gudang meneruskan lagi lawatan ke 3 buah keluarga di kawasan Taman Scientex sebentar tadi adalah Puan Hajah Haryati Binti Ismail, Ahli Majlis MBPG, Zon Scientex 1.
Keluarga Pertama
Dimulai dengan Encik Izwan Binti Othman yang menderita sakit Slip Disc sejak tahun 2019 disebabkan pekerjaannya yang berat.
Sebelum ini beliau bekerja sebagai operator, namun disebabkan sakit yang dialaminya mengakibatkan beliau tidak dapat bekerja dan sekaligus menganggu sumber pendapatan utama. Bagi meneruskan kehidupan dan menyara keluarganya, beliau berniaga menjual nasi bubur secara atas talian.
Beliau berhasrat untuk melakukan pembedahan Slip Disc secepat mungkin, namun tidak mampu kerana kos pembedahan yang agak tinggi.
Setakat ini, beliau hanya melakukan rawatan fisioterapi di Hospital Sultan Ismail, HSI sebanyak 1 sehingga 2 kali sebulan dan diberikan ubat saraf oleh doktor untuk mengurangkan sakit dialaminya.
Sumbangan wang tunai telah disalurkan kepada Encik Izwan

Keluarga Kedua
Berjumpa dengan Encik Abd Malek Bin Ismail yang merupakan pesakit Dialisis.
Beliau diarahkan untuk membuat persediaan buat tapak dialisis di Hospital Pakar KPJ Johor bagi memulakan rawatan dialisisnya. Sebulan 2 kali, selepas proses membuat tapak, beliau sekeluarga perlu mengenal pasti Hospital atau lokasi untuk melakukan rawatan dialisis yang berdekatan dengan rumahnya.
Pada 20 Jun lalu, beliau dibenarkan keluar daripada wad selepas ditahan di Hospital disebabkan badannya yang membengkak dan tiub perlu dipasang untuk mengeluarkan air berlebihan daripada badannya.
Beliau memerlukan bantuan kewangan untuk rawatan dialisis dan tapak dialisisnya. Yayasan Pasir Gudang menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada Encik Malek untuk kegunaan rawatan dan tapak dialisis

Keluarga Ketiga
Bertemu Puan Mazlina Binti Zakaria yang menghidap kanser paru-paru tahap 4 sejak bulan Januari tahun ini.
Pada Januari yg lalu, beliau telah ditahan selama 14 hari untuk doktor pakar melakukan sedutan dan menebuk rusuk kirinya bagi mengeluarkan air yang ada dalam paru-parunya.
Beliau mengalami batuk yang teruk dan kesukaran bernafas pada bulan April lalu dan ini menyebabkan doktor terpaksa menebuk di bahagian bahunya untuk mengeluarkan air dari paru-parunya.
Selepas 2 minggu proses buang air dijalankan, doktor mendapati bahawa masih terdapat sel kanser dan ketumbuhan di dalam paru-parunya. Pada 28 Julai yang lepas, beliau telah melakukan imbasan CT satu badan.
Yayasan Pasir Gudang berkesempatan menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik kepada Puan Mazlina.