[ 5 Ogos 2021, Khamis ] 3 buah keluarga di kawasan Taman Cahaya Masai dan Taman Kota Masai telah dikunjungi oleh Yayasan Pasir Gudang hari ini bersama Tuan Haji Herman Irmadi Bin Ismail, ALPA YPG dan Puan Juliah Binti Jamal, Ahli Majlis MBPG, Zon Cahaya Masai.
Keluarga Pertama
Bermula dengan Puan Julizah Binti Sulaiman di Taman Cahaya Masai yang sakit terlantar akibat lumpuh separuh badan di bahagian sebelah kirinya.
Pada 23 Disember tahun lalu, beliau telah menjalani pembedahan di bahagian kepala sebelah kanan kerana urat di kawasan kepalanya pecah disebabkan tekanan darah yang terlalu tinggi. Selepas tempoh 3 bulan daripada pembedahan dilakukan, kedua-dua matanya tidak dapat melihat, namun kini semakin pulih.
3 sehingga 4 kali dalam tempoh sebulan, beliau akan melakukan rawatan susulan di 2 buah hospital berbeza. Di Hospital Sultanah Aminah (HSA), untuk rawatan susulan perkembangan kesihatan hasil dari pembedahan dikepala, manakala Hospital Sultan Ismail (HSI), untuk rawatan Fisioterapi dan darah.
Sumber pendapatan utama keluarganya terjejas semenjak suaminya diberhentikan kerja tahun lalu. Kini suaminya bergantung kepada pekerjaan sambilan am dan berniaga sendiri menjual buah untuk nafkah keluarga.
Yayasan Pasir Gudang menghulurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik dan lampin pakai buang dewasa kepada Puan Julizah kerana beliau bergantung kepada pemakaian lampin pakai buang dewasa sepenuh masa

Keluarga Kedua
Berjumpa Encik Ganesan A/L Maniam di Taman Cahaya Masai yang merupakan pesakit dialisis.
Pada Bulan Mei 2020, Encik Ganesan pernah terkena serangan strok selama 3 bulan dan beliau bermula menjalani rawatan dialisis dan memasang tapak dialisis pada bulan November 2020.
Dalam seminggu, sebanyak 3 kali rawatan dialisis akan dilakukan oleh beliau di Johor Bahru. 3 bulan sekali, beliau akan melakukan rawatan kesihatan di Hospital Mount Austin untuk buah pinggangnya dan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Masai untuk pengambilan darah dan ubat.
Disebabkan badannya yang cepat letih, tidak boleh berjalan lama dan kadangkala boleh pengsan secara tiba-tiba, beliau telah berhenti bekerja kilang atas faktor kesihatannya.
Beliau merupakan penerima bantuan SOCSO dan SOCSO juga membayarkan separuh kos rawatan dialisis dan tapak dialisis, manakala baki perlu dibayar oleh beliau. Disamping itu, SOCSO juga memberi pencen ilat kepada beliau.

Keluarga Ketiga
Bertemu Encik Johaini di Taman Kota Masai yang menghidap penyakit paru-paru, asma dan batuk yang teruk sejak 2 tahun lepas berpunca dari merokok.
Pada tahun 2018, beliau pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana paru-parunya yang tersumbat. Sakit yang dihadapi beliau ini telah memberi kesan terhadap waktu tidur di malam hari kerana kesukaran bernafas.
Beliau hanya menggunakan inhaler bagi mengurangkan kesukaran pernafasannya. Keadaanya menyukarkan beliau untuk berjalan kerana mudah terasa penat.
Setakat ini, rawatan susulan untuk paru-parunya dilakukan di HSI dan ubat-ubatan perlu diambil setiap minggu di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.
Beliau memerlukan bantuan mesin oksigen dan alhamdulillah, Yayasan Pasir Gudang mendengar keluhan Encik Johaini dengan menyalurkan sumbangan wang ihsan pesakit kronik bagi kegunaan pembelian mesin oksigen.